Isi ikan patin, makanan haiwan peliharaan, buah pinang bernilai lebih RM300,000 dirampas

Shah Alam: Tiga kontena yang membawa hasilan ikan, makanan haiwan dan hasil pertanian ditahan dalam operasi berasingan di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, semalam kerana cuba dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan antara jam 9 pagi hingga 11 pagi, pihaknya menyita sebuah kontena berisi isi ikan patin (Pangasius Fillet) yang diimport dari Vietnam.

Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM191,684.35 dengan berat kira-kira 25,000 kilogram.

Menurut beliau, operasi kedua yang berlangsung dari jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari turut melibatkan rampasan sebuah kontena mengandungi makanan haiwan peliharaan (petfood) yang diimport dari New Zealand.

Nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM74,416.96 dengan berat sebanyak 10,420.80 kilogram.

“Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM266,101.31 dengan jumlah berat 35,420 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati semua dagangan berkenaan cuba dibawa masuk tanpa permit import sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Dalam perkembangan berkaitan di Pelabuhan Klang Utara, AKPS turut menahan sebuah lagi kontena yang mengandungi hasil pertanian berupa buah pinang (Betel Nuts) yang diimport dari Indonesia.

Nik Ezanee berkata, hasil pertanian itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat Permit MAQIS di Pusat Pemeriksaan Kontena CT.

Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM51,662.52 dengan berat sekitar 40,200 kilogram.

Beliau menegaskan, tindakan sitaan dilakukan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko biosekuriti terhadap tanaman lain serta memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam terus terjamin.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta yang sama atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat permit MAQIS.

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*