PAPAR: Berbeza anutan agama tidak pernah memutuskan kasih sayang. Ternyata berbeza agama bukan halangan untuk keluarga Safinah Dungin Abdullah, 53, meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yang bukan beragama Islam.
Rutin syawal Safinah yang merupakan seorang mualaf ini tetap sama seperti masyarakat Islam lain iaitu berkumpul bersama anak-anak dan saudara mara setiap kali Aidilfitri.
“Tiada yang berbeza dengan sambutan raya kami, berlainan agama itu memeriahkan lagi suasana raya kami. Bukan Aidilfitri sahaja kami raikan, perayaan lain seperti Krismas dan Tahun Baharu Cina juga kami raikan bersama-sama,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, larangan rentas negeri dan daerah kali ini menyebabkan dua daripada empat anaknya tidak dapat pulang.
Sebelum pandemik Covid-19, seminggu sebelum Aidilfitri anaknya yang berada di Kuala Lumpur pasti akan pulang membuat persiapan raya bersama-sama.
“Tahun ini anak-anak yang tidak dapat balik hanya membuat panggilan video sahaja. Walaupun tidak dapat beraya bersama, panggilan video sudah cukup memadai kerana terasa seperti mereka berada di sisi,” katanya.
Bagi anak sulungnya, Lilian Lim, 36, biarpun dia beragama Kristian namun itu bukan halangan untuknya menyambut Aidilfitri bersama ibu kandungnya itu.
“Mummy memeluk agama Islam atas kerelaan sendiri pada 2003. Sejak itu, kami memang meraikan semua perayaan bersama-sama baik sambutan Aidilfitri mahupun Krismas serta Tahun Baharu Cina.
“Adik lelaki saya memeluk Islam sebab berkahwin dengan wanita muslim manakala, adik perempuan saya memeluk Islam kerana terbuka hati untuk mendalami Islam ketika sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.
Menurut Lilian, tahun lepas mereka menyambut 1 Syawal di rumahnya dan adik perempuannya yang menyediakan juadah raya iaitu rendang ayam dan soto.
Pada tahun ini, hanya Lilian dan seorang lagi adiknya menyambut Aidilfitri bersama ibunya kerana dua lagi adiknya tidak dapat pulang ke kampung kerana larangan rentas daerah dan negeri.
Katanya, adik lelakinya berada di daerah lain iaitu di Tuaran manakala, adik perempuannya terpaksa meraikan Aidilfitri sendirian di Kuala Lumpur.
“Tahun ini tiada rumah terbuka kerana terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak jangkitan Covid-19 semasa Aidilfitri.
“Biasanya kalau beraya di rumah mummy, pagi raya dia akan solat sunat Aidilfitri di masjid dan kemudian barulah kami bersalaman dan makan juadah raya.
“Selalu setiap kali raya, memang mummy akan membuat rumah terbuka untuk menjemput saudara mara dan jiran-jiran di Taman Perumahan Nagapas, Papar,” katanya.
Sumber : utusan