DUNGUN: Di sebalik senyuman mesra yang diberikan warga emas ini ketika menyambut kedatangan Bernama di kediamannya di Kampung Keliyu di sini, tersimpan 1,001 kenangan pahit dan manis ketika membesarkan anak-anaknya yang sentiasa terpahat di hati.
Ujian yang dilalui Azizah Bakar, 70, sebagai seorang ibu bukanlah calang-calang kerana tidak hanya seorang malah enam daripada 12 anaknya dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Anak-anaknya iaitu Mohd Fairus Kamaludin, 43; Mohd Zulkifli (40); Hazura (37); Hatikah (35); Mohd Shahrul (30) dan Mohd Azeem Asyraf (27) dilahirkan bisu dan mengalami perkembangan mental yang tidak normal.
Lebih menyedihkan Mohd, Zulkifli dan Hazura tidak boleh berjalan sejak mereka berusia 20-an dan hanya mampu mengengsot. “Anak mak cik yang pertama hingga ketiga dilahirkan normal tetapi bermula dengan anak keempat iaitu Mohd Fairus dilahirkan sebagai OKU. Lagi mak cik sedih bila tiga anak berturut-turut iaitu anak keenam hingga kelapan (Mohd Zulkifli, Hazura dan Hatikah) turut ditimpa nasib yang sama.
“Kalau mempunyai seorang anak OKU pun sudah rasa sedih apatah lagi mak cik yang sampai enam orang anak dilahirkan begini. Ada juga mak cik tertanya sendiri kenapa ditimpa nasib seperti ini tetapi bila difikirkan semula, ia adalah ketentuan Allah dan mak cik reda sahaja,” katanya.
Meskipun tulang empat keratnya sudah tidak sekuat mana, namun wanita tabah itu tidak pernah mengeluh dan berjanji akan tetap menjaga anak-anak istimewanya itu dengan penuh kesabaran dan kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya.
“Dari kecil mereka tidak pernah berenggang dengan mak cik dan mereka tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan kerana bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini. Sampai sekarang pun mak cik tidak boleh pergi ke mana-mana kerana perlu menjaga mereka.
“Tetapi kini mujurlah anak-anak mak cik lain yang normal iaitu Roslinah (49); Haziru (47); Nurul Huda (45); Rozita (39); Mohd Hasrul Akimi (34); dan Nur Sharil Amiru (32) turut membantu menjaga adik-beradik mereka,” katanya. Azizah berkata pelbagai kepayahan terpaksa ditempuhi sepanjang membesarkan anak-anak syurga tersebut memandangkan pada waktu itu anak-anak yang lain juga masih kecil dan memerlukan perhatian.
Malah katanya, pada waktu itu tiada bantuan yang diterima dan keluarga mereka hanya bergantung kepada pendapatan suaminya Kamaludin Embong, 70, sebagai ketua kampung yang tidak seberapa. “Pada lewat tahun 1970-an bantuan untuk OKU belum ada. Memang hidup susah sampai makan pun kena catu. Menu biasa kami adalah nasi dan telur goreng. Nasib baiklah anak-anak istimewa ini tidak cerewet dan mereka makan sahaja apa yang diberikan serta tidak pernah meminta-minta.
“Sewaktu mereka kecil, tuhan sahaja yang tahu betapa penatnya mak cik kerana jarak semua 12 anak dekat-dekat jadi mak cik menguruskan anak-anak yang OKU sambil mak cik sendiri berbadan dua,” katanya sambil memaklumkan sejak 10 tahun lepas semua anak OKUnya masing-masing menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Azizah mengakui beliau pernah berasa malu dan enggan bergaul dengan masyarakat ekoran ada yang memandang serong dengan keadaan anak-anaknya itu, sehingga mereka mempersoalkan mengapa begitu ramai anaknya dilahirkan cacat.
Namun kini, beliau bersyukur dan berasa bangga kerana berjaya membesarkan anak-anak istimewanya itu dengan baik dan meskipun dilahirkan dengan serba kekurangan, kebanyakan mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri dan menjaga sesama mereka, serta membantunya melakukan kerja-kerja rumah.
Sempena sambutan Hari Ibu yang bakal diraikan esok, Azizah menasihati golongan ibu terutama yang diuji dengan anak OKU sepertinya supaya sentiasa bersabar dan menghargai semua anak-anak walau apa sahaja keadaan mereka.
“Kita perlu kuatkan semangat dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang. Anak-anak itu tidak tahu apa-apa dan mereka pun tidak minta dilahirkan begitu. Mereka adalah amanah Allah kepada kita, terimalah mereka seadanya,” katanya yang kelihatan bergenang air mata sambil cuba mengukir senyuman.
Sumber : Majalah Harian