Cara Masak Pulut Guna Rice Cooker
Ceritanya, selepas road trip kami ke Thailand awal October hari tu, saya asyik teringat-ingat ke pulut makan dengan ikan rebus ni dekat Yala. Dekat Yala ada 3 jenis pulut dan ikan. 1 yang ikan rebus makan dengan pulut hitam (versi pulutnya manis dan ikan rebusnya pun manis), 1 yang ikan rebus makan dengan pulut lemak putih macam dalam gambar ni (ikan rebusnya manis) dan 1 lagi versi yang biasa saya jumpa ikan masin dengan pulut lemak.
Jadi, saya dah jatuh hati makan pulut putih dengan ikan rebus yang agak manis ni. Ikan rebus tu saya gigih jugalah cari resepi cara orang Thailand masak. Alhamdulillah menjadi ikan rebusnya. Pulut tu aja 1st time saya nak masak selama hidup saya ni.
Dok tengok dekat you tube cara masak pulut, terjumpalah cara-caranya. Saya pun cubalah buat. Alhamdulillah elok kejadiannya siap lembut sekali package berkilat tu. Jadi, saya nak share dekat semua orang jugaklah cara buat pulut ni. Yang mana tak pernah buat tu, mesti menjadi jugak macam mana saya buat ni.
Bahan-Bahan:
- 6 pot beras pulut (saya masak banyak sebab balik rumah parents baru ni makan ramai-ramai)
- 6 pot air (guna pot yang sama)
- 2 sudu kecil garam
- 2 sudu besar minyak masak
Cara Membuat:
1. Basuh bersih beras pulut tu sama macam kita basuh beras. Lepas tu toskan, masukkan dalam periuk nasi dan letak air ikut sukatan. Andai kata nak masak 2 pot aja, jadi airnya pun 2 pot jugak. Jangan lebih.
2. Lepas tu, masukkan garam dan minyak masak. Kacau bagi sebati dan terus aja masak dalam periuk nasi tu. Tak perlu nak rendam ke apa. Siap!.
Sepatutnya ada kelapa tapi kelapa tak jumpa jalan nak balik rumah. Haa, macam tu lah kejadian pulut tu. Lembut betul. Mak abah pun suka.
Memandangkan ramai tanya resepi ikan rebus ni, maka saya update lah resepi ikan rebusnya sekali. Yang ini pun simple sangat cara buatnya.
Bahan-Bahan:
- 8-10 ekor ikan selayang/kembung atau ikut suka nak guna ikan apa
- 3-5 keping asam keping – Kalau besar sangat cukuplah 3, kalau kecik-kecik ambil 5 keping
- 2 sudu kecil paste asam jawa adabi – Bancuh dengan setengah gelas air
- 5 sudu kecil garam
- 3 keping gula kerek – Kalau tak ada, guna aja gula melaka pun boleh
- 1 sudu kecil chicken stock – Kalau tak ada chicken stock, boleh guna kiub ayam tu seketul
Cara Membuat:
1. Basuh bersih ikan. Buang segala isi perut semua tu ye. Lepas tu susun ikan dalam periuk. Masukkan air paras ikan. Masukkan terus semua bahan-bahan tu. Masaklah dengan api perlahan sampai air rebusan kering.
2. Dah rebus, nak lagi sedap biarkan dulu 1 malam bagi air rebusan tu lebih meresap dalam ikan. Tapi kalau nak goreng terus pun boleh. Macam saya jenis tak sabar nak makan tu goreng ajelah terus.
3. Dah siap boleh makan. Hati-hati masa menggoreng sebab dia boleh meletup. Selamat mencuba
Resipi Oleh: Wan N Wan M

Leave a Reply