100 syarikat bas persiaran Zon Utara bakal gulung tikar akibat kenaikan harga diesel

100 syarikat bas persiaran Zon Utara bakal gulung tikar akibat kenaikan harga diesel

Alor Setar: Kira-kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara kini berdepan masalah berikutan kenaikan harga diesel yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar jika tiada tindakan diambil dengan segera.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, semua syarikat pengusaha bas persiaran di bawah naungannya itu terdiri daripada negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang terbabit dengan sektor pelancongan.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila sebahagian besar mereka tidak dapat menjalankan perniagaan akibat kenaikan diesel.

Katanya, ini kerana tempahan daripada agensi pelancongan, sekolah, institusi pengajian tinggi serta organisasi semakin berkurangan.

“Sekarang harga diesel mencecah RM4.27 seliter dan tidak mustahil ia boleh mencecah sehingga RM7 seliter pada masa akan datang.

“Kadar kos operasi juga sudah meningkat sehingga dua kali ganda malah ada pelanggan terpaksa membatalkan tempahan perkhidmatan bas persiaran disebabkan kenaikan harga diesel, walaupun kami cuba berbincang namun mereka terpaksa batalkan juga.

“Malah, setakat ini, saya dimaklumkan sudah 50 peratus tempahan sudah dibatalkan,” katanya pada perhimpunan aman di Stargate di sini semalam yang turut disertai 31 pengusaha bas persiaran Zon Utara.

Ahmad Ruslan berkata, sekiranya keadaan ini berterusan, syarikat bas persiaran di Zon Utara ini tidak dapat bertahan untuk meneruskan pengoperasian mereka.

Beliau berkata, pengusaha bas melahirkan kebimbangan dengan tekanan masalah yang dihadapi sekarang apatah lagi ketika ini sedang berlangsung Tahun Melawat Malaysia.

Katanya, industri bas persiaran adalah tulang belakang kepada pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa di Malaysia.

“Kenaikan harga diesel yang ketara telah memberi tekanan besar terhadap kos operasi, sekali gus menjejaskan daya tahan industri ini.

“Kami akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Perdana Menteri supaya masalah yang kami hadapi sekarang dapat diatasi segera.

“Melalui memorandum itu, kami mencadangkan supaya bantuan kewangan sementara dapat diberikan selain berharap subsidi bersasar diesel diberikan kepada pengusaha bas persiaran berdaftar di bawah MOTAC, ” katanya.

Ahmad Ruslan berkata, jika subsidi bersasar diesel diluluskan, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung pengusaha bas persiaran.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Bumiputera Malaysia, Mahadi Izady Maharazi berkata, pihaknya mengharapkan supaya bantuan segera diperolehi untuk meneruskan perkhidmatan bas persiaran bagi sektor pelancongan itu.

Beliau berkata, masalah sama ini pernah berlaku ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan perhimpunan aman seperti ini pernah diadakan dan kali ini ia berlaku lagi ketika Tahun Melawat Malaysia, ” katanya.

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*