RAMAI yang terkejut dan kecewa apabila kira-kira 10,000 penduduk di Kelantan tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa kedua.
Dilaporkan kebanyakan individu yang tidak hadir itu merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan pelbagai alasan termasuk masalah kesihatan dan isu peribadi.
Namun pada Ahad, warga negeri Cik Siti Wan Kembang itu boleh berbangga apabila seorang warga emas berusia 105 tahun menghadirkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pada usia lebih seabad itu, lelaki warga emas dari Kampung Pulong di Kubang Kerian mungkin menjadi individu tertua yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia, setakat ini.
Foto lelaki warga emas itu, Jaafar Awang Mat sambil memegang poster ‘Saya telah divaksin’ di pusat pemberian vaksin (PPV) dikongsikan netizen di laman sosial sejak Isnin.
AyahPa menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Cucu Jaafar, Noor Azriena Syamsuri Md Nor berkata, datuknya menerima dos pertama suntikan vaksin di PPV di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, di Kota Bharu, pada Ahad.
Lebih dikenali sebagai Suri, katanya, datuknya berusia 99 tahun mengikut kad pengenalan, tapi sebenarnya berusia 105 tahun pada 9 Julai depan.
“Orang dulu-dulu buat kad pengenalan lambat. Jika ikut umur asal AyahPa (panggilan datuk), dah 105 tahun pada tahun ini. Alhamdulillah, AyahPa masih sihat dan bertenaga.
“AyahPa cuma menghidap asma, tak ada penyakit lain. Suami saya bawa AyahPa untuk terima suntikan vaksin, manakala saya bawa mak dan ayah yang disuntik vaksin di lokasi berasingan pada hari yang sama,” katanya kepada mStar.
AyahPa meluangkan masa bersama salah seorang cicitnya.
Suri yang berusia 33 tahun berkata, datuknya yang turut lebih dikenali sebagai PokPa dalam kalangan penduduk kampung mempunyai tujuh anak, lebih 35 cucu dan lebih 30 cicit.
Berkongsi pengalaman, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu menjelaskan datuknya secara sukarela mahu menerima suntikan vaksin Covid-19.
Alhamdulillah, AyahPa tidak dipengaruhi dengan persepsi negatif. Semoga lebih ramai orang terutama warga emas seperti AyahPa sedia menerima suntikan vaksin
SURI
“AyahPa bimbang banyak kes Covid-19 di Kelantan dengan kebanyakan kawasan bertukar status kepada zon merah, selain terdapat penduduk kampung yang positif Covid-19.
“AyahPa kata dia tenang je ambil suntikan vaksin, tak ada kesan sampingan yang ketara. AyahPa kata dia okay, Alhamdulillah,” ujarnya sambil menambah datuknya gemar menonton televisyen terutama filem-filem lakonan seniman negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Suri (kanan) dan suami (kiri) bersama AyahPa.
Dalam pada itu, kata Suri, datuknya yang juga gemar mendengar ceramah dan tazkirah menerusi saluran radio turut mendedahkan pernah terpengaruh dengan anti vaksin.
“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), AyahPa memang suka menunggang basikal dan bersiar-siar di kampung dan singgah di kedai kopi. AyahPa kata ada segelintir orang di kedai kopi cakap macam-macam yang negatif tentang vaksin.
“Ada yang beritahu AyahPa yang vaksin itu boleh menyebabkan kematian, sakit. Tapi AyahPa kata nak berlindung daripada terkena penyakit kena ada usaha, seperti ambil vaksin. Yang penting ada usaha, lain-lain tu daripada Allah,” tambahnya.
Menurut Suri, dia bersyukur datuknya yang dahulunya merupakan penjual kuih dengan kuih Lompat Tikam digemari ramai itu berfikiran positif meskipun lanjut usia.
“Alhamdulillah, AyahPa tidak dipengaruhi dengan persepsi negatif. Semoga lebih ramai orang terutama warga emas seperti AyahPa sedia menerima suntikan vaksin,” katanya.
Sumber : Mstar