Seekor Tapir didapati ‘raikan’ tahun baharu di hotel Melaka Cetus Kekecohon Warga Netizen

Sebuah hotel di Melaka bukan sahaja menjadi pilihan untuk menyambut tahun baharu tetapi juga ‘menyambut’ kehadiran seekor haiwan liar.

Ia selepas seekor Tapir Malaya muncul sebagai tetamu tidak diundang sekali gus mencetuskan kekecohan.

Melaka sememangnya menjadi lokasi percutian pilihan ramai lebih-lebih ketika sambutan Tahun Baharu 2023 hari ini.

Memetik laporan The Star Online, Pengurus Besar Kumpulan Hatten Hotel Worldwide, Datuk Chuck Kassim berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sekitar Hotel Estadia, Bandar Hilir, Melaka, pagi tadi.

Menurut beliau, kehadiran tapir di sekitar kawasan hotel itu disedari tetamu.

“Ia benar-benar satu kejutan tahun baharu untuk kami semua di Hatten Group,” katanya.

Beliau berkata, haiwan itu dipercayai masuk ke tempat parkir tersebut melalui jalan masuk kereta dan sesat untuk keluar semula dari bangunan berkenaan.

Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati haiwan itu berkeliaran di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, memetik laporan portal Melaka Hari Ini, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Sofian Hassan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kelibat haiwan liar itu di tingkat lima tempat parkir bangunan itu pada jam 9.04 pagi.

“Anggota bomba mengalami sedikit kesukaran sedikit untuk menangkap tapir berkenaan berikutan haiwan itu bertindak agresif sehingga merosakkan bahagian stor hotel terbabit dan beberapa kereta yang diletakkan di parkir tersebut,” katanya.

Tapir Malaya atau nama saintifiknya, tapirus indicus juga dikenali sebagai Tapir Asia dalah spesis yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sumatera.

Haiwan berkenaan telah disenaraikan sebagai terancam oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!