“Saya sedia dipecat, tak akan bersama PH” – Anak Ismail Sabri kongsi screenshot perbualan bapa dalam grup WhatsApp Umno

Baru-baru ini khabar angin mengatakan bahawa Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya sedia dipecat… tetap tidak akan bersama PH,” demikian tangkap layar hantaran mesej dipercayai dihantar oleh Ismail Sabri di dalam grup WhatsApp pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Bera itu didakwa lebih rela dipecat daripada bergabung dengan pakatan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hantaran tangkap layar itu dimuat naik oleh anak perempuan beliau, Datin Nina Sabrina menerusi story di laman Instagram miliknya, petang Isnin.

“Biar tak berkuasa, jangan tak berprinsip,” menurut Nina dalam hantaran tersebut.

Menerusi hantaran itu juga dilihat bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

Bagaimanapun, setakat ini Ismail Sabri belum membuat sebarang kenyataan berhubung pendiriannya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tampil sebagai ahli Parlimen BN pertama yang bertegas untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

“No Anwar, No DAP,” kata Hishammuddin.

Pada Isnin, Anwar mengesahkan mengadakan rundingan dengan beberapa wakil pemimpin BN dalam usaha mewujudkan kerajaan perpaduan yang stabil.

Anwar berkata, pihaknya berpuas hati dalam rundingan itu yang membincangkan keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan yang bersifat inklusif, selain dalam soal ekonomi.

“Perbincangan lebih kepada isu dasar dan keperluan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan inklusif,” katanya kepada pemberita.

Sumber:Khalifah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!