Penyokong Jepun Tular Di Piala Dunia 2022, Kutip Sampah Sampai Stadium Bersih!

Baru-baru ini demam temasya bola sepak Piala Dunia FIFA 2022 telah pun bermula. Sejak hari pertama penganjuran Piala Dunia lagi, seluruh peminat bola sepak seluruh dunia mula berkampung di Qatar bagi menyaksikan pasukan kegemaran beraksi.

Walaupun begitu, ada satu ‘insiden’ patut kita contohi yang melibatkan penyokong pasukan Jepun yang turut menghadiri perlawanan pembukaan tersebut dan perkara itu telah mendapat perhatian seluruh dunia.

Menerusi video yang asalnya dimuatnaik oleh seorang pereka konten dari Bahrain, Omar Al-Farooq, video itu kemudiannya dikongsikan oleh ramai pihak dan tular serata dunia.

Videonya berdurasi kurang dari seminit tersebut menunjukkan penyokong pasukan Jepun membawa plastik sampah dan membantu untuk membersihkan kawasan stadium selepas kebanyakan penyokong lain keluar sesudah tamat perlawanan.

“Kami orang Jepun, kami tidak meninggalkan sampah merata-rata, kami hormati tempat ini”

Menurut salah seorang daripada penyokong Jepun berkenaan, mereka melakukan perkara sedemikian kerana mereka menghormati tempat di mana mereka berada dan mereka tidak akan meninggalkannya dalam keadaan kotor.

Selain sampah, mereka juga turut mengutip bendera-bendera negara yang jatuh dan ditinggalkan oleh para penyokong dan ianya sesuatu yang patut dicontohi dan dihormati.

Tidak hairanlah apabila Jepun disebut sebagai sebuah negara yang menyediakan tong sampah paling sedikit di tempat awam dan masih mampu mengekalkan kebersihannya.Ini kerana penduduk di sana juga sudah terbiasa membawa beg plastik ketika berada di luar agar sampah yang mereka hasilkan boleh dibuang setelah sampai ke rumah atau tempat kerja.

Seharusnya, kita sebagai rakyat Malaysia juga mesti mencontohi budaya masyarakat Jepun ini. Mulakannya daripada persekitaran di rumah dan kemudian ajarnya di sekolah. Kalau tidak, sampai bila-bilalah sungai kita akan menjadi ‘habitat’ kepada sampah sarap.

Sumber : Remaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!