Membaca AlQuran ketika ziarah j3nazah, Guru tidak sangka dapat tunai hajat terakhir bekas pengetua MRSM Langkawi

PEMERGIAN seorang pengetua tiga tahun lalu ibarat ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ kerana keperibadiannya disanjung tinggi.

Seorang guru berkongsi kisah ‘permintaan terakhir’ pengetua berkenaan yang hanya diketahuinya selepas arwah selamat dikebumikan.

Guru berkenaan, Mohd Shahid Ahmad memberitahu, dia mengenali Allahyarham Shabani Ahmad ketika sama-sama bertugas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah.

Mohd Shahid berkata, dia sempat ‘berguru’ selama hampir tujuh tahun dengan arwah yang bertugas sebagai pengetua MRSM Langkawi sebelum berpindah dan menjadi pengetua di MRSM Pendang.

Mohd Shahid (baju merah) bersama Allahyarham Shabani (tengah) di MRSM Langkawi sebelum berpindah bersama isteri dan anak-anak.

Bercerita lanjut, dia yang juga telah berpindah ke MRSM Arau, Perlis dijemput sebagai penceramah untuk satu program keibubapaan di MRSM Pendang pada 24 Mac 2018.

“Bagaimanapun, program tersebut dibatalkan berikutan Haji (panggilan Allahyarham Shabani) yang merupakan pengetua MRSM Pendang meninggal dunia malam sebelumnya.

“Bila saya dapat tahu arwah meninggal dunia pada malam 23 Mac selepas Isyak, saya terus bergegas ke Pendang bersama isteri dan anak-anak, saya baca al-Quran di kediaman arwah sehinggalah saat sebelum jenazah dimandikan,” katanya kepada mStar.

Berhimpun bersama kakitangan dan sebahagian keluarga pada 2016.

Shahid yang berusia 43 tahun bagaimanapun dikejutkan dengan satu pemberitahuan yang tidak disangka-sangka sebaik selesai urusan pengebumian jenazah pada pagi 24 Mac.

“Selesai pengebumian jenazah, isteri arwah datang pada saya dan sampaikan sesuatu. Saya masih ingat kata-kata isteri arwah, ‘Sampai juga hajat Haji nak minta Shahid baca al-Quran’.

“Petang hari arwah meninggal dunia, beliau kurang sihat dan beritahu tak akan hadir ke program ceramah, dan minta isterinya maklum pada saya supaya datang ke rumah dan baca al-Quran untuk kesembuhannya.

“Saya terkejut bila diberitahu permintaan terakhir arwah, hanya selepas selesai pengebumian. Serius saya tak tahu dan saya menangis bila dapat tahu. Alhamdulillah hajat arwah tercapai,” katanya sambil menambah arwah menghidap penyakit kencing manis dan meninggal dunia pada usia 53 tahun.

Allahyarham Shabani (kanan) bersama salah seorang pelajar pada 2014.

Menurut guru yang berpengalaman selama 13 tahun itu, dia menganggap Allahyarham sebagai bapanya sendiri, selain mempunyai perwatakan yang hampir sama seperti suka memberi teguran dan nasihat sebagaimana arwah bapa kandungnya.

“Hingga ke hari ini jika ada yang cerita tentang arwah, akan ada yang bercakap mengenai perkara yang arwah selalu buat semasa hayatnya.

“Selepas beliau (arwah) punch kad masuk kerja, arwah akan pusing satu maktab sambil kutip sampah yang dia jumpa, menggunakan tangannya.

“Rumput-rumput terlekat atas alas kaki dekat foyer MRSM Langkawi, beliau yang kutip guna tangan dan buang. Jadi cikgu dan staf tak akan pijak alas kaki tu kalau kasut kotor sebab bimbang pengetua akan pungut dan buangkan,” ujarnya yang berasal dari Sik, Kedah.

Allahyarham Shabani rapat dengan para pelajar.

Mohd Shahid berkata, dia kagum dengan cara arwah mendidik guru-guru dan para pelajar sepanjang khidmatnya dalam bidang perguruan.

“Arwah tak pernah pun suruh kami ikut macam beliau kutip sampah tu. Tapi bila nampak tindakan pengetua yang konsisten macam tu, cikgu dan pelajar akan buat perkara yang sama secara automatik tanpa disuruh. Kepimpinan melalui teladan.

Rumput-rumput yang terlekat atas alas kaki dekat foyer MRSM Langkawi, beliau yang kutip guna tangan dan buang. Jadi cikgu dan staf tak akan pijak alas kaki tu kalau kasut kotor sebab bimbang pengetua akan pungut dan buangkan

MOHD SHAHID

“Saya ingat lagi hari pertama arwah jadi pengetua MRSM Langkawi. Beliau minta letak cermin kat dalam bilik pengetua. Saya agak sinis juga.

“Selang berapa tahun bila saya tanya, arwah kata melihat cermin umpama melihat diri sendiri dalam kebaikan dan berhenti melihat keburukan orang lain. Ini kerana melihat keburukan orang lain umpama ada cermin besar yang akan menghalang kita melihat kebaikannya Berhenti bercakap tentang keburukan orang. Saya terdiam,” katanya.

Mohd Shahid yang kini bertugas di MRSM Taiping di Perak berkata, hubungan arwah dan para pelajar di sekolah juga amat baik.

Allahyarham Shabani (hadapan, kanan) bersama kakitangan ketika mesyuarat pada 2016.

“Saya tak pernah nampak arwah marah pelajar, dia boleh je letak tangan atas bahu budak sambil tanya khabar. Mendidik anak orang macam jaga anak sendiri.

“Di MRSM Langkawi, beliau akan tingkatkan dan raikan semua kebaikan dan kesungguhan guru dan staf. Iklim sekolah akan sentiasa tenang je. Jadi kecemerlangan tu sentiasa konsisten hingga MRSM Langkawi sentiasa top five keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Yang paling diingati pasal arwah, akan sentiasa ada lawatan benchmarking. Hampir setiap bulan lawatan dari sekolah luar. Bila pengetua ditanya macam mana ye MRSM Langkawi ni boleh kekal cemerlang?

“Arwah akan sentiasa cakap ‘Saya tak buat apa-apa pun. Semua cikgu dan staf yang buat.’ Itulah perkataan yang dia selalu wiridkan, Allahuakbar,” katanya.

 

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*