Isr4el isytih4r d4rurat selepas dib3dil t3ntera H4mas

TEL AVIV – Israel mengisytiharkan darurat di bandar Los, tengah Israel, susulan rusuhan oleh penduduk berketurunan Arab ketika konflik antara pasukan keselamatan Rejim Zionis dan pejuang Palestin semakin sengit.

Kereta-kereta dibakar dan 12 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran yang disifatkan datuk bandarnya seperti perang saudara.

Sementara itu, pejuang Palestin terus membedil beratus-ratus roket ke arah Israel sementara tentera Rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas Gaza.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam keganasan tersebut yang disifatkan terburuk selepas bertahun-tahun.

Pejuang Palestin berkata, mereka membedil beratus-ratus roket dan peluru berpandu ke bandar Tel Aviv selepas serangan udara Israel memusnahkan sebuah blok menara di Genting Gaza semalam.

Tentera Israel pula menyatakan bahawa pihaknya menyasarkan pejuang-pejuang Palestin di Gaza untuk membalas serangan ke atas Baitulmuqaddis dan kawasan lain di Israel

Pertempuran itu berlaku beberapa minggu selepas ketegangan tercetus akibat konfrontasi ganas antara polis Israel dan penunjuk perasaan Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dianggap suci oleh kedua-dua orang Islam dan bangsa Yahudi.

Masyarakat antarabangsa menggesa kedua-dua belah pihak supaya menamatkan konfrontasi tersebut.

Utusan keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat, Tor Wennesland berkata, pertempuran yang berlaku menjurus ke arah perang sepenuhnya.

“Sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin termasuk 10 kanak-kanak di samping lima penduduk Israel terbunuh dalam keganasan yang berlaku setakat ini,” kata beberapa pegawai kesihatan. -Agensi

Sumber : Kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*