Kanak-kanak aut1sme mampu hasilkan lukisan lanskap dengan hanya sekilas pandang
Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ada manusia yang mungkin kelihatan memiliki kehidupan yang sempurna namun sebaliknya, dia mungkin tidak bahagia dengan hidupnya. Ada pula individu yang mempunyai bakat besar namun disebabkan oleh kedaifan, perjalanan untuk mencapai kejayaan agak sukar dan berliku.
Seperti kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang berasal dari United Kingdom ini. Kanak-kanak yang mesra dengan panggilan Alex ini dikatakan menghidap penyakit autisme iaitu sejenis gangguan perkembangan otak yang menyebabkannya mengalami kesulitan untuk berinteraksi dan berkomunikasi.
Menurut laporan akhbar Metro, Alex Baker telah menghidap autisme sejak dari kecil lagi. Namun seawal usia dua tahun, Alex mula menunjukkan minat yang mendalam terhadap lukisan. Ketika Alex berusia lima tahun, ibunya yang dikenali sebagai Laura Jackson mula menyedari bakat terpendam anak istimewanya itu.
Walau bagaimanapun, Alex adalah seorang yang berbakat besar terutamanya dalam bidang seni lukisan. Dengan hanya sekali imbas, Alex mampu menghasilkan lukisan terperinci tentang lanskap sesebuah kawasan.
“Alex memiliki daya ingatan yang menakjubkan. Dia akan menghabiskan masanya di dalam bilik untuk melukis. Kami sangat berbangga dengannya”.
Segalanya bermula apabila Laura dan anaknya itu bersiar-siar di London. Mereka cuma berada di sana untuk beberapa jam sahaja namun sebaik sahaja tiba di rumah mereka yang terletak berdekatan Liverpool, Alex mula membuat lakaran. Alex bukan sekadar mampu melukis bangunan tetapi dia mampu menghasilkan sebuah lukisan yang begitu rumit memaparkan lanskap seluruh kota London.
Sementara itu, Laura turut mendedahkan bahawa anaknya mampu menghasilkan lukisan-lukisan tersebut setelah menziarahi kawasan berkenaan atau melihatnya di dalam buku. Purata masa yang diperlukan Alex untuk menghasilkan lukisan di dalam bayangannya adalah sekitar tiga jam sahaja!
“Saya suka melukis bandar yang padat dan memiliki banyak bangunan. Bandar kegemaran saya adalah London. Saya sangat sukakan kawasan itu kerana bangunan di situ adalah bangunan yang lama dan klasik,” jelas Alex.
Kini, Alex mempunyai hajat besar untuk melancong ke New York bagi melihat sendiri keindahan bangunan di sana dan menghasilkan lukisan yang hebat. Meksipun anak ini tidak sempurna, namun Alex nampaknya sudah mempunyai masa depan yang cerah. Semoga Alex akan terus maju jaya.