“Gandalf” 56 tahun ini akui dia sangat bahagia hidup terpencil di hutan selama 32 tahun

Menurut sumber berita luar negara, warganegara Jerman yang bernama Friedmunt Sonnemann itu hidup bersendirian di sebuah rumah yang dibina daripada lumpur. Dia menggunakan kayu api dan air sungai yang berhampirannya untuk minum, memasak, membasuh pakaian dan menghangatkan dirinya.

Hidup di hutan tanpa air dan elektrik sejak 32 tahun lalu, lelaki 56 tahun mengakui dirinya sangat bahagia. Malah ramai orang dari seluruh dunia terinspirasi dengan cara hidup lelaki yang berpenampilan seakan watak “Gandalf” daripada filem “The Lord of the Rings” termasuklah mereka yang dari Taiwan dan Mexico.

Selepas Sonnemann memutuskan untuk hidup di hutan belantara pada usia 24 tahun, dia lalu memilih sebuah hutan berhampiran Bernkastel-Kues, Jerman.

Sonnemann dikagumi dalam dunia perkebunan kerana kelebihannya menanam pelbagai jenis tanaman termasuklah herba-herba luar biasa yang jarang ditemui. Dia menanam tumbuh-tumbuhan itu melalui kaedah semula jadi.

Berbekalkan kudrat yang ada, Sonnemann membangunkan tanah seluas empat hektar dengan menanam lebih kurang 100 jenis tumbuhan yang jarang ditemui. Benih-benih tumbuhan tersebut ada yang diperolehnya daripada nenek moyangnya.

Biarpun pada mata orang lain hidup di hutan itu kelihatan serba kekurangan, namun bagi Sonnemann dia tidak sedikit pun rasa kekurangan apa-apa. Ini kerana, menurut Sonnemann, cara hidup seperti itu adalah pilihannya.

Pendirian Sonnemann itu bukan sahaja dihormati malah dikagumi oleh orang ramai. Menariknya dia kini mempunyai lapan orang rakan serumah dari Taiwan, Mexico dan tempat lain yang turut sama membantu menjaga ladangnya.

“Kami bukanlah mengasingkan diri daripada dunia luar terus, cuma dunia luar itu hanyalah pengaruh kecil buat kami,” kata Sonnemann.

Walaupun dia mengamalkan cara pemakanan yang seimbang dengan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanamnya sendiri, Sonnemann berkata dia masih mendapatkan bekalan beras dan mi dengan membelinya dari dunia luar.

Setiap orang ada corak perjalanan hidup masing-masing. Mungkin kurang pada padangan orang lain, tetapi jika diri sendiri rasa bahagia dengan pilihan tersebut, tiada siapa yang boleh mengubahnya.

Semoga Sonnemann dikurniakan kesihatan yang baik disamping terus memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana untuk menjalani kehidupan yang sederhana.

sumber ;era baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!