Bermula rasa ingin cuba, akhirnya jadi ketagih minuman tenaga. pernah habis 4 tin sehari! Gadis akui payah nak berhenti tapi ingat nasihat ibu ayah
Bukan satu tin, sebaliknya gadis ini pernah meminum sehingga empat tin dalam sehari!
“HATI-HATI… kandungan gula tinggi tu. Pergi check gula dalam darah sekali”
Itu antara komen yang dilontarkan netizen kepada gadis ini selepas dia mendedahkan tabiatnya yang gemar mengambil minuman tenaga dalam kuantiti yang banyak.
Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Nor Zahraa Farzana berkata, segala-galanya bermula daripada sifat ingin tahu dan mahu mencuba sebelum akhirnya dia ‘jatuh minat’ terhadap minuman tenaga tersebut.
“Seingat saya, mula beli pada awal 2021. Saya tertarik jadi saja nak cuba rasa. Bila cuba, rasanya not bad. Pelik tapi sedap dan rasa manis. Tapi lama-lama, rasa manis itu kita dah biasa.
“Tak ada dorongan atau pengaruh sesiapa pun… ia daripada diri saya sendiri. Kemudian daripada rasa nak cuba, terus jatuh suka dan akhirnya pada hujung 2021, saya seperti ketagih.
“Pernah ada hari yang saya minum empat botol atau empat tin. Bukan sekali hadap, tapi empat tin minum termasuk siang dan malam. Tapi bukan hari-hari saya teguk empat botol tu, jangan salah faham. Saya minum berselang juga,” ujar gadis berusia 16 tahun ini.
Senang disapa sebagai Zahraa, gadis ini berkata dia gemar mengambil minuman tersebut sekadar untuk menghilangkan rasa mengantuk dan juga mendapatkan tenaga.
‘Koleksi’ tin minuman tenaga ketika dia ketagih, beberapa bulan lalu.
“Saya juga selalu bantu keluarga di kedai makan. Kedai makan keluarga saya beroperasi dari petang hingga malam. Jadi saya rasa minuman ini buatkan saya cergas sikit,” kata anak keenam daripada tujuh adik beradik ini lagi.
Bukan keluarga atau rakan-rakan terdekat tidak melarang tabiatnya itu, namun tambah Zahraa, dia tidak dapat menyembunyikan keinginan sehingga pernah membeli dan menyorokkan minuman berkenaan kerana bimbang dimarahi.
“Keluarga dan kawan akan marah sebab membahayakan kesihatan… iyalah, minuman tu manis. Yang paling marah, umi dan ayah. Saya sendiri tahu ia boleh membahayakan kesihatan kalau ambil kerap dan kuantiti yang banya.
“Namun masa ketagih dulu, saya amalkan minum air suam yang banyak untuk seimbangkannya,” ujarnya yang berasal dari Besut, Terengganu ini.
Itu cerita tahun lepas. Sekarang saya dah perlahan-lahan kurangkan pengambilan minuman itu. Dalam seminggu tu, ada dua atau tiga tin saja minum.
WAN NOR ZAHRAA FARZANA
Bagaimanapun gadis ini menambah, dia kini perlahan-lahan sudah mula mengurangkan tabiatnya yang kurang sihat itu namun masih mengambil masa untuk ‘berhenti’ sepenuhnya.
“Itu cerita tahun lepas. Sekarang saya dah perlahan-lahan kurangkan pengambilan minuman itu. Dalam seminggu tu, ada dua atau tiga tin saja minum.
“Nak berhenti terus memang payah. Sama seperti orang lain yang ada makanan akan minuman kegemaran masing-masing, jadi ia sukar bila berhenti tiba-tiba.
“Kalau rasa itu membuak-buak, saya beli satu saja untuk hilangkan keinginan. Saya akan teringat nasihat umi dan ayah, terus tersedar,” katanya.
Tidak menyangka perkongsian videonya di aplikasi TikTok meraih sehingga melebihi 1.9 juta jumlah tontonan, Zahraa berkata dia hanya mahu berkongsi kisahnya secara suka-suka kerana mengikut satu trend yang sedang popular di media sosial itu.
Antara komen netizen pada perkongsian videonya.
“Ada orang kata saya buat untuk content. Saya bukan nak kejar viral. Saya buat sebab ada satu video yang serupa masuk di FYP TikTok, dan kebetulan punya habit yang sama.
“Tak sangka langsung views hingga nak dekat 2 juta. Tapi ramai yang beri nasihat mengenai kesihatan kepada saya. Yang tegur elok-elok dan lemah lembut, saya terima dengan hati terbuka.
“Tapi ada yang kecam. Saya enggan layan. Apa yang boleh saya katakan, jangan menilai daripada luaran atau buat anggapan sendiri jika tak tahu cerita sebenar.
“Buat mereka di luar sana terutama yang sama situasi macam saya, seeloknya berhenti sebab ia membahayakan kesihatan,” katanya lagi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), minuman tenaga mengandungi kafien, taurin, vitamin dan bahan bahan tambahan lain.
Kandungan kafien yang terlalu tinggi dalam minuman ini dan pengambilannya secara berlebihan mengakibatkan jantung berdegup dengan pantas, tekanan darah tinggi, kekurangan kalsium dalam badan, metabolic asidosis, sawan dan kematian.
Selain itu, seperti mana minuman ringan lain, ‘minuman tenaga’ mengandungi gula yang cukup tinggi dan boleh mengakibatkan masalah kencing manis.
Sumber : mstar
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Follow dan Like kami di Berani Bangkit Media