Alhamdulilah, Brunei Genap Setahun Bebas daripada K0ronav1rus, Kes Tempatan Terakhir pada 6 Mei 2020

LEBIH setahun kita bergelut dengan penularan v1rus Covid-19 dan telah pun menghadapi beberapa gelombang jangkitan. Tatkala kita berhempas pulas melandaikan lengkuk jangkitan, negara jiran Brunei Darussalam meraikan setahun bebas daripadanya.

Negara Brunei Darussalam dilaporkan tidak mempunyai kes baru Covid-19 selama satu tahun. Tiada kes tempatan di negara ini hingga hari 6 Mei lalu. Negara dengan populasi 450,000 penduduk itu pertama kali melaporkan kes Covid-19 pada 9 Mac 2020. Namun, pemerintah pantas bertindak untuk membendung penularan virus berbahaya ini.

Pemerintah Brunei telah melaksanakan peraturan sempadan dan perjalanan yang ketat untuk membendung penyebaran virus. Tegahan keluar negeri telah mula dikuatkuasakan mulai pada 16 Mac 2020 yang telah dimuatkan di dalam garis panduan permohonan kebenaran keluar negeri bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi menghindari penularan wabak Covid-19.

Selain itu, para penuntut daripada negara ini yang melanjutkan pelajaran di luar negara dibawa pulang. Semua permohonan membawa masuk pekerja asing ditangguhkan serta warganegara asing termasuk yang transit tidak dibenarkan untuk memasuki negara itu.

Laporan terkini jangkitan Covid-19 di Brunei

Negara yang menjalankan sistem pemerintahan monarki mutlak ini juga telah menerapkan larangan untuk berkumpul ramai yang ketat, melakukan pengesanan kontak berasaskan teknologi dan kuarantin yang ketat untuk mencegah penularan kes tempatan.

Walaupun setahun bebas daripada kes tempatan, Brunei masih mengesan jangkitan Covid-19 pada pelancong asing.

Negara ini melaporkan satu kes baru yang diimport Covid-19 menjadikan jumlah nasional menjadi 229. Dengan penambahan itu, sebanyak 88 kes yang diimport telah disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir pada 6 Mei 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan Brunei, kes baharu itu adalah wanita berusia 20 tahun yang tiba dari Eropah melalui Singapura pada 23 April 2021.

Wanita berkenaan mengalami demam bersuhu tinggi, batuk dan hilang deria bau dan rasa sejak 30 April. Siasatan telah mengesahkan bahawa tidak ada kontak rapat untuk kes tersebut kerana dia dikuarantin sebaik tiba di negara itu.

Dia dirawat dan dipantau di Pusat Pengasingan Nasional bersama dengan enam kes aktif lain, semuanya dalam keadaan stabil. Sejumlah tiga kematian dan 219 pemulihan telah dilaporkan setakat ini di Brunei.

Negara pertama Asia Tenggara yang menerapkan syariat Islam itu memulakan Program Vaksinasi Nasional pada 3 April tahun ini dengan 17,776 orang telah menerima vaksin Covid-19 hingga 5 Mei 2021.

Brunei telah membenarkan penggunaan kecemasan untuk beberapa vaksin, iaitu Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Sinopharm.

“Pada masa ini, vaksin Covid-19 masih dilaksanakan untuk fasa satu, yang terdiri daripada barisan depan, pelajar yang belajar di luar negara dan warga emas berusia 60 tahun ke atas,” kata Kementerian Kesihatan Brunei seperti yang dipetik daripada Xinhua.

“Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan warga emas kerana golongan ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19. Warga emas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi yang lebih teruk,” kata kementerian itu.

Kementerian Kesihatan Brunei terus menggalakkan orang untuk mengambil bahagian dalam program vaksinasi nasional, walaupun tidak wajib.

“Mendapatkan vaksin Covid-19 adalah langkah paling berkesan untuk melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat kita dari kesan berbahaya korona,” kata kementerian itu.

Bersama ini SinarPlus ingin berkongsi beberapa cara yang dilakukan Brunei dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan inisiatif penjarakan fizikal dalam menangani pandemik ini.

1)Pembinaan Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong bagi menempatkan pesakit-pesakit yang telah pun disahkan positif dari jangkitan Covid-19 untuk dipantau rapi.

2)Pembinaan bangunan tambahan Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan di Kampung Sumbiling, Bandar Seri Begawan bagi menambah kapasiti dan mempercepatkan proses ujian makmal bagi Covid-19.

3)Penyediaan Pusat-Pusat Pemantauan bagi warga asing, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang masuk ke Negara Brunei Darussalam dari luar negara bagi menjalankan kuarantin.

4) Penyediaan Self Assessment Tool healthinfo.gov.bn bagi membantu individu untuk membuat penilaian jika mereka menghidap simptom-simptom COVID-19 dan usaha untuk menghasilkan masa sebenar ataupun real-time Government dashboard.

5) Pembukaan Sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei-Muara bagi memudahkan aksesibiliti ke daerah Temburong. Jambatan berkenaan adalah dibukakan dari pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja setiap hari bermula 19 Mac 2020.

6) Elaun khas sebanyak $400 sebulan iaitu sebanyak RM1242.80 khusus kepada para doktor, jururawat, parademik, pemandu, ambulan, sukarelawan, pembersih, penjaga keselamatan dan kesemua mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan Brunei.

7) Pemantauan harga barangan sentiasa dijalankan bagi barangan seperti beras, gula dan barangan keperluan lain contohnya sanitizer tangan dan pelitup muka bagi melindungi pengguna.

8) Memperkasa perkhidmatan telekomunikasi bagi dapat memenuhi jangkaan permintaan yang makin meningkat.

9) Penutupan sementara masjid, surau dan balai ibadah seluruh negara Brunei Darussalam.

10) Acara-acara keramaian atau berkumpulan termasuk majlis perkahwinan dan acara kesukanan adalah tidak dibenarkan buat sementara waktu.

11) Premis-premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, medan selera, gerai makan dan seumpamanya tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan di premis-premis dan hanya dibenarkanuntuk menyediakan makanan untuk dibawa pulang saja (takeaway). Kompleks dan fasiliti sukantertutup diseluruh negara termasuk gimnasium, pusat boling dan padang golf serta muzium-muzium dan galeri, pusat-pusat belia, perpustakaan negara itu ditutup operasi.

Syabas buat Brunei yang berjaya menangani dan bebas pandemik. Semoga kita mengambil iktibar dan sama-sama melaksanakan langkah yang dianjurkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan virus ganas Covid-19 ini.

Sumber: CNN Indonesia, brudirect & Ministry of Transport and Infocommunications Brunei

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*