Adik kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, Nik Razin Nik Mat meninggal dunia hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga anak saudara Allahyarham menerusi Facebook beliau, sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan ayah saudara saya yang juga adik kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Almarhum Ustaz Nik Razin Nik Mat telah kembali ke rahmatullah hari ini di Batu Rakit, Terengganu.
“Marilah kita bersama mendoakan agar Allah SWT mengampuni, merahmati dan menempatkan almarhum bersama para solehin. Insya-Allah,” katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung, Batu Rakit.
Allahyarham Nik Razin merupakan bekas Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Setiu.
Sumber : Facebook