BENTONG – Tiga maut, manakala seorang kanak-kanak lelaki parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Bentong-Raub berhampiran Taman Desa Damai, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, jam 3.43 pagi tadi.
“Seramai lapan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler muatan kereta dengan sebuah kereta di lokasi berkenaan.
“Difahamkan, empat mangsa yang berada di dalam kereta berkenaan tersepit dengan seorang daripadanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zamri yang juga ketua operasi berkata, pasukan bomba menggunakan ‘rescue tool’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Tiga mangsa yang tersepit termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Dua wanita yang disahkan meninggal dunia dikenal pasti sebagai Marlia Abdul Muid, 36, dan Marlianna Abdul Muid, 37, manakala identiti dua kanak-kanak lelaki yang terbabit dalam kemalangan ini masih belum dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki yang parah dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
“Mayat tiga mangsa terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu treler berkenaan pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa mengesahkan kanak-kanak yang cedera parah juga meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Menurut Azam Muid, dia sama sekali tidak menjangka akan kehilangan dua kakak dan dua anak saudara sekaligus selepas membuat keputusan untuk pulang menetap di Malaysia pada tahu lalu.
Sumber : cempedakcheese