12 lelaki telah dik0mpaun kerana berkumpul, Solat jemaah tanpa kebenaran

12 individu yang dikenakan kompaun kerana berkumpul beramai-ramai tanpa memakai pelitup muka dan menunaikan solat berjemaah di sebuah premis di Nilai pada Jumaat.

SEREMBAN – Seramai 12 lelaki termasuk seorang warga asing dikenakan kompaun kerana berkumpul dan menunaikan solat berjemaah tanpa kebenaran dalam ruang sebuah premis di Nilai di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tindakan diambil selepas serbuan dilakukan sepasukan anggota polis bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di premis berkenaan kira-kira jam 1.30 petang.

Beliau berkata, kesemua mereka dikompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat seramai 12 lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia sedang berkumpul menunaikan solat secara berjemaah di ruangan premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tiada kebenaran untuk menjalankan aktiviti solat berjemaah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, selain melakukan kesalahan berkumpul di dalam premis, kumpulan lelaki terbabit didapati tidak memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera ketika masuk ke premis berkenaan atau menulis secara manual.

“Kesemua individu itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Jumlah kompaun yang boleh dikenakan ialah sebanyak RM1,500 hingga RM4,000 bagi setiap seorang,” katanya.

 

 

 

 

Sumber : sinar harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*