Solat tidak batal jika mata meliar, tetapi boleh terbatal jika dada berpaling. Ini panduan disiplin solat yang ramai keliru
Ramai berusaha untuk lebih fokus ketika solat, namun tanpa sedar melakukan perkara yang kurang tepat menurut sunah.
Menurut penjelasan penceramah bebas, Ustaz Jafri Mahmoodi, pandangan mata sepatutnya sentiasa diarahkan ke tempat sujud sepanjang berdiri ketika menunaikan solat.
Perbuatan mengalihkan pandangan ke kiri, kanan, atas atau bawah ketika solat adalah makruh kerana boleh mengganggu tumpuan.
Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Muslim.
Maksudnya: Hendaklah mereka menghentikan mengangkat pandangan mereka ke langit atau (penglihatan) mereka tidak akan kembali kepada mereka.
Dalam masa sama, ada juga yang beranggapan bahawa memejamkan mata boleh membantu mencapai khusyuk.
Namun, perbuatan itu juga tidak dianjurkan kerana hukumnya adalah makruh.
Rasulullah SAW melalui riwayat al-Thabrani (1/37) menegaskan:
Maksudnya: Apabila seseorang itu berdiri ketika di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan matanya.
Jelasnya, pandangan mata perlu dikawal dan difokuskan ke tempat sujud sebagai tanda disiplin dalam ibadah.
Namun begitu, Ustaz Jafri menjelaskan bahawa pergerakan mata ke arah lain tidaklah membatalkan solat.
Apa yang boleh membatalkan solat adalah apabila dada yang sepatutnya menghadap kiblat beralih ke arah lain.
Ini kerana kewajipan menghadap kiblat tertumpu pada kedudukan dada, bukan semata-mata pada arah pandangan mata.
Tambah beliau, terdapat satu keadaan di mana pandangan mata berubah arah iaitu ketika tahiyat akhir.
Pada saat melafazkan “Ashhadu alla ilaha illallah“, khususnya pada kalimah “illallah“, pandangan mata akan terarah ke jari telunjuk sehingga selesai solat.
Sumber : mStar Online

Leave a Reply