Macam-macam Teknik Dah Ni,Elizabeth Tan Guna Teknik “Isteri Jarak Jauh” Pada Suami

Macam-macam Teknik Dah Ni,Elizabeth Tan Guna Teknik “Isteri Jarak Jauh” Pada Suami

KUALA LUMPUR: Mendasari kehidupannya, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan sukar mempercayai sudah bergelar isteri. Perasaan berkenaan timbul disebabkan bukan sahaja dirinya dan suami, Dr Siew Jim Ding masih belum tinggal sebumbung walaupun sudah beberapa bulan mendirikan rumah tangga.

Situasi itu membuatkan ramai tertanya-tanya, apakah yang membezakan hidup Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy ketika bujang mahupun ketika bergelar isteri.

Namun, sampai bilakah Lizzy atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei itu tegar terus kehidupan sebagai ‘isteri jarak jauh kerana ia bukan sahaja menuntut kesabaran tinggi, malah mengundang risiko dalam perhubungan jika silap percaturan.

Seakan sudah bersedia dengan soalan yang bakal diajukan, Lizzy berkata, status isteri tidak pernah mengubah dirinya untuk menjadi orang lain.

“Walaupun sudah berkahwin, saya masih sama dan tiada apapun yang berubah. Memilih untuk tidak tinggal sebumbung selepas berkahwin adalah keputusan bersama.

“Keputusan ini dibuat kerana kami percaya, pasangan yang bercinta atau sudah berkahwin, tidak semua perkara perlu dibuat bersama-sama. Ada ketika, kami perlukan privasi.

“Justeru, kami lebih selesa memberi ruang menjalani kehidupan sendiri, buat masa ini. Lagipun, jika mati pun, kita mati seorang diri, bukannya boleh bawa pasangan bersama,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi YouTube itu mengakui, antara sebab mengapa tinggal berjauhan kerana mahu menjaga ibu masing-masing, memandangkan dia dan suami adalah anak bongsu dalam keluarga.

Pun begitu, kata Lizzy, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan selalu menghubungi suami yang juga seorang doktor dan usahawan.

“Saya kerap membuat panggilan video dengan suami, tetapi dia kurang gemar saya berbuat demikian (ketawa). Ada kala memuat naik video kami bersama dalam media sosial.

“Cuma, itu video lama yang dirakamkan sebelum sekatan pergerakan penuh dilaksanakan. Apa yang kami buat adalah rakam video banyak-banyak dan muat naik satu demi satu,” cerita penyanyi berusia 28 tahun itu.

Perkahwinan si pendendang lagu Police Entry dan Semua Sudah itu sensasi apabila ia dilakukan secara rahsia. Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila gambar perkahwinan tersebar di laman maya, selain bapa Lizzy mengesahkan anak bongsunya sudah berkahwin menerusi perkongsian yang dibuat di dalam Facebook (FB).

Meleraikan tanda tanya yang timbul mengenai kisah cinta rahsianya itu, Lizzy berkata, suami adalah kawan lamanya yang sebelum ini terpisah kerana tuntutan tugas.

“Kami berkenalan sejak enam tahun lalu. Bagaimanapun, hubungan terputus selama tiga tahun kerana suami menjalani latihan sebuah hospital di Sabah.

“Kemudiannya, kami menjalinkan hubungan jarak jauh selama setahun, sebelum memutuskan untuk berkahwin. Jika diikutkan, saya dan suami belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Namun, demi memenuhi hasrat keluarga yang mahu melihat kami disatukan, jadi kami akur sahaja,” ujar Lizzy.

Berikutan hubungan jarak jauh yang diamalkan, Lizzy mengakui, dia dan suami masih belum bersedia menerima kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

“Dengan situasi sekarang, agak sukar untuk kami mempunyai cahaya mata dalam waktu terdekat. Apabila ada anak, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya.

“Jika ikut suami, dia hanya bersedia menjadi bapa dalam masa beberapa tahun akan datang. Sekarang ini, usia saya 28 tahun, mungkin apabila genap 30 tahun baru saya rasa sesuai untuk memiliki cahaya mata,” ujar pelakon filem Misteri Dilaila itu.

Bagi mengukuhkan kenyataan perkahwinan bukanlah penyebab untuk kehidupannya berubah, Lizzy turut membuktikan menerusi gaya dan penampilannya.

Jika sebelum ini penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Knock Knock itu sering dikaitkan dengan imej seksi, penampilan yang sama masih lagi dikekalkan walaupun sudah menggalas status isteri.

Ini dapat dilihat menerusi foto yang dimuat naik dalam laman sosial hingga aksinya itu sering mendapat komen berbaur lucah daripada pengikut yang rata-ratanya golongan lelaki.

Mengulas lanjut perkara itu, anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak kisah dengan komen nakal yang dilemparkan. Malah, kata Lizzy, suaminya juga sudah sedia maklum dengan perkara itu.

“Suami ada membaca komen, sejujurnya dia tidak pernah ambil peduli. Suami hanya ketawa dan minta saya memberitahu, pakaian yang dikatakan seksi adalah pakaian harian saya.

“Saya tidak pernah menganggap penampilan saya seksi. Jika mereka tengok penampilan wanita sebangsa yang lain dalam media sosial, mereka tahu saya tidaklah seseksi yang disangka,” katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Lizzy memaklumkan, dia kini sedang menanti surat pelepasan daripada syarikat rakamannya, Warner Music.

Menolak tanggapan keputusan keluar daripada label dibuat kerana berlaku perselisihan faham, Lizzy menjelaskan, tujuannya berbuat demikian kerana mahu lebih fokus pada kerjaya lakonan yang semakin berkembang.

“Kalau nak kata saya dan label ada masalah, rasanya dalam apa juga bidang dan syarikat, pasti akan berlaku masalah. Itu adalah normal. Cuma, dalam hal ini, saya untuk keluar daripada Warner Music kerana mahu lebih fokus pada dunia lakonan.

“Sebelum ini, label hanya menguruskan hal berkaitan muzik sahaja. Dari segi mendapatkan tawaran lakonan, kebanyakannya saya menguruskan sendiri.

“Lagipun, kontrak saya sudah tamat sejak Februari lalu. Peguam sudah pun menghantar surat pelepasan dan ketika ini, saya masih menantikan maklum balas daripada mereka,” terangnya.

Sebelum ini, Lizzy dan suami melangsungkan perkahwinan secara tertutup di sebuah gereja di Gombak, Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Ketika sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, Lizzy lebih fokus kepada permainan penstriman video untuk lebih dekat dengan peminat, selain menjalani uji bakat secara dalam talian.

Antara filem lakonannya yang masih belum ditayangkan adalah Abang Long Fadil 3, Escape dan Sekolahaha.

Sudah baca artikel ini?Jangan lupa untuk like dan share ya.Terima kasih.

Sumber:bhharian.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*