8 Tips dan Cara2 Supaya Rumah Anda Dingin Semasa Cuaca Panas Terik Tanpa Berlakunya Pembaziran Bil Elektrik Yang Tinggi

Beberapa hari kini, Hampir keseluruhan kawasan di Malaysia mengalami cuaca yang sangat panas. Ada sesetengah tempat tu, sampai dah seminggu tak dibasahi hujan. Cuaca yang panas terik ni seronok kalau korang nak basuh pakaian. Sidai tak sampai dua jam, baju dah boleh kering dan bolehlah jimat duit sebab tak perlu ke dobi.

Tapi yang tak seronoknya bila cuaca panas terik ni, kita sendiri akan rasa tak senang duduk sebab terasa bahang. Badan asyik-asyik keluarkan peluh, dan kadang-kadang tu, bahangnya sampai ke malam! Nak tidur pun jadi susah walau dah puas golek-golek atas katil. Kalau nak buka aircond, nanti bil elektrik tinggi pula. Jadi akhirnya, terpaksalah menanggung kepanasan tu.

Video Tips Sejukkan Rumah

Tips Sejukkan Ruang dalam Rumah Bila Cuaca Panas Terik

Sebenarnya, korang tak perlu menyiksa diri pun kalau cuaca panas terik dekat luar. Ada beberapa tips yang korang boleh ikuti untuk sejukkan ruang dalam rumah, dan ia tak makan banyak duit pun!

1. Gunakan Langsir Gelap dan Tutupkannya di Siang Hari

Mungkin korang terfikir, kalau tutup tingkap dengan langsir, mestilah rumah akan rasa lagi hangat dan rasa terperap. Sebenarnya, bila tutup langsir, korang akan mengurangkan jumlah cahaya matahari yang memancar masuk ke dalam rumah. Sebab tu penting untuk korang tutup tingkap dengan langsir di siang hari, supaya ruang dalam rumah boleh menjadi lebih sejuk. Kalau tingkap rumah betul-betul menghadap matahari, gunakan langsir yang tebal dan berwarna gelap.

2. Gunakan Kombinasi Kipas dan Ais

Kalau rumah korang tak ada aircond atau tak nak hidupkan aircond sebab takut bil naik, cuba gunakan kombinasi kipas dan ais ni. Letakkan sebongkah ais dalam besen, dan letakkanya di depan kipas. Hidupkan kipas dan halakannya ke arah korang. Udara yang berhembus tu nanti akan menjadi sejuk macam duduk dalam bilik yang ada aircond!

3. Buka Tingkap di Malam Hari

Kalau waktu malam pula, amat digalakkan untuk membuka tingkap. Udara waktu malam selalunya lebih sejuk sebab dah tak ada matahari. Jadi bila korang buka tingkap, udara sejuk dari luar akan cepat-cepat masuk ke dalam bilik dan menggantikan udara yang panas. Kalau korang takut nyamuk masuk, boleh pasang kain kelambu untuk menutupi tingkap. Dengan cara ni, nyamuk tak boleh masuk dalam bilik, tapi dalam masa yang sama, udara sejuk masih boleh bertiup ke dalam bilik.

4. Letakkan Besen Berisi Air

Kalau rumah korang tak ada ais, boleh guna cara ni pula. Korang perasan tak bilik air mesti lagi sejuk dari bilik-bilik lain dalam rumah? Ini disebabkan terdapatnya kolah air ataupun lantai yang basah dengan air yang boleh membuatkan ruang tersebut menjadi lagi sejuk.

Jadi kita boleh aplikasikan benda ni di dalam bilik dengan cara meletakkan besen yang berisi air dalam bilik. Nanti air tu akan terkondensasi dan dapat menyejukkan bilik. Lebih digalakkan untuk menggunakan besen daripada timba atau baldi sebab ia mempunyai permukaan yang lebih luas. Jadi lebih banyak air yang boleh terserap ke udara.

5. Banyakkan Pokok Hidup

Pokok ni bukan je boleh sejukkan sesuatu ruang, tapi ia juga boleh membuatkan korang rasa nyaman dan tenang disebabkan oksigen yang dikeluarkannya. Ada banyak jenis pokok dalam rumah yang korang boleh letak, seperti pokok ekor kucing dan pokok duit. Pokok dalam rumah pun murah je dan nak jaga pun tak susah. Seminggu hanya siram dua kali je. Tak perlu siram pokok tu hari-hari.

6. Tutup Tingkap Rumah dengan Pembalut Tinted

Ya, bukan tingkap kereta je kena tinted, tingkap rumah pun kena juga! Fungsinya sama macam pembalut tinted kereta, ia akan memantulkan semula cahaya matahari dan membuatkan ruang dalaman jadi lebih sejuk. Selain daripada fungsi tu, menutup tingkap rumah dengan pembalut tinted juga mampu menjaga privasi orang di dalam bilik tersebut. Orang dari luar takkan boleh nampak apa-apa yang berada di dalam, tapi orang di dalam boleh nampak apa yang berada di luar. Pembalut tinted ni korang boleh je beli secara online di Shopee.

7. Gunakan Pelembap Udara

Pelembap udara adalah alternatif lain yang lebih murah kalau korang tak nak beli aircond. Apabila ia dipasang, pelembap udara akan menebarkan titisan-titisan air yang boleh menyejukkan sesuatu ruang. Lagi best kalau tambah aroma pewangi untuk mewangikan dan membuatkan bilik menjadi lebih nyaman.

8. Beli Je Aircond

Sebenarnya, kalau korang pandai cari dan gunakan, aircond boleh menjadi perkakas elektrik yang bagus untuk dimiliki semasa cuaca panas terik ni. Kalau nak beli aircond, pastikan dulu ia mempunyai label kecekapan tenaga 4 bintang ke atas. Perkakas elektrik yang mempunyai label kecekapan tenaga yang tinggi dapat menjimatkan tenaga elektrik, sekaligus bil yang korang dapat hujung bulan pun tak tinggi melambung!

Bila ikuti 8 tips di atas ni, tak adalah korang rasa sengsara setiap kali musim panas melanda Malaysia. Apa yang penting masa cuaca panas terik adalah untuk sentiasa memastikan air diminum dengan secukupnya supaya tak adalah jatuh sakit pula.

 

Sumber : mysumber.tv

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*