‘Anak……rindu…..Al-Fatihah buat mu’ – Amyza Aznan
Kuala Lumpur : Pelakon Amyza Aznan, 50, berkongsi luahan rindu yang sarat dirasai ketika ini terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, 20, yang sudah seminggu ‘pergi’ buat selamanya.
Menerusi perkongsian Amyza di Instagram (IG), ibu tiga cahaya mata lelaki ini memuatnaik hantaran video memaparkan arwah Andre menyanyi lagu Keluhan Perantau nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah.
Berserta kapsyen ringkas, Amyza sekadar meluahkan kerinduan tidak terhingga dirasainya terhadap Allahyarham Andre, selain menitipkan Al-Fatihah buat anak tersayang.
“Anak……rindu…..Al-Fatihah buat mu anak soleh, anak syurga ku Andre Mikhail Khairil Izhar,” tulisnya pada hantaran itu.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut berasa sedih dan menitip doa buat arwah Andre, termasuk memohon Amyza terus bersabar menghadapi ujian besar itu.
“Sabar ya kak…. setiap kali teringat, akak terus sedekahkan Al-Fatihah. Semoga arwah tenang di sana,” komen warganet.
“Seminggu dah arwah pergi… Al-Fatihah,” tulis pengguna media sosial.
“Rasa nak peluk akak…rindu seorang ibu kepada anaknya tiada penghujung,” ujar seorang wargamaya.
“Allahuakbar…video macam ini jadi pengubat rindu seorang ibu,” kata netizen.
Pada hantaran lain di InstaStory (IGS) pula, Amyza menulis dia bukan tidak reda tetapi perasaan rindu itu yang kian menebal dan sukar diungkap.
“Aku ikhlas, tapi rindu. Ramadan sudah di depan mata.
“Ya Allah….aku rindu wajah yang tak bisa (boleh) ku tatap, senyum yang bisa ku lihat, dan aku rindu suara yang dulu sering aku dengar.
“Aku hanya rindu kepada orang yang telah Engkau panggil lebih dulu ya Allah…..
“Terangi kuburnya dan terimalah amal ibadahnya ya Allah,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Pada 23 Februari lalu, Allahyarham Andre Mikhail yang bertarung kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada Selasa lalu, jam 10.40 pagi yang dihadiri lebih 300 orang.
Sumber : Harian Metro

Leave a Reply