Kes Kanak-Kanak Tendang & Heret Kucing, Ibu Mohon Maaf

Kes Kanak-Kanak Tendang & Heret Kucing, Ibu Mohon Maaf

Setakat ini, keadaan dan keberadaan kucing itu masih tidak dapat dipastikan dan kumpulan penyelamat masih gigih berusaha untuk menyelamatkannya.

Baru-baru ini, tular video yang menyaksikan dua kanak-kanak didakwa menyeksa seekor kucing dalam satu kejadian yang berlaku di Dungun, Terengganu.

Menerusi hantaran di Instagram penyelamat haiwan, Shima Aris, insiden dipercayai berlaku empat hari lalu.

Video yang dirakam dan dimuat naik ke kumpulan komuniti penduduk bagaimanapun baru tular sebaik dikongsikan semula menerusi aplikasi WhatsApp.

2 Kanak-Kanak Tendang & Seret Kucing Dengan Tali

Menerusi video tersebut, jelas kelihatan seekor kucing yang diikat pada tali dan diperlakukan secara kasar oleh dua kanak-kanak.

Seorang kanak-kanak dilihat beberapa kali menendang dan membalingkan seliparnya kepada kucing tersebut, sementara seorang lagi menyeret haiwan tidak bersalah itu.

Insiden itu dipercayai dirakamkan oleh seorang dewasa yang berada di kawasan berhampiran.

Namun daripada rakaman tersebut, kelihatan tiada sesiapa pun yang menghalang dua kanak-kanak terbabit daripada berbuat demikian ketika itu.

Kucing Didakwa Dibiarkan Lemah Selepas Didera, Ada Yang Anggap Telah Mati

Menurut Shima, pemberi maklumat berkata kucing tersebut dimiliki oleh seorang individu dan sering berada di rumah salah seorang jiran.

Penduduk tempatan juga memaklumkan bahawa kucing berkenaan mengalami kecederaan luka dan kaki bengkak, sebelum ditinggalkan dalam keadaan lemah dan dianggap telah mati.

Tambahnya lagi, jiran-jiran telah membeli amaran dan cuba membuat laporan, yang kemudiannya berakhir dengan pergaduhan.

“Difahamkan juga selepas kes ini tular, ibu kepada dua kanak-kanak tersebut bertindak balas dengan amarah.

“Dia didakwa menunjukkan rasa tidak takut kepada laporan polis dan mengatakan bahawa salah seorang ahli keluarganya merupakan anggota polis,” ujar Shima.

Dalam masa sama, Shima turut meminta orang ramai agar mengemukakan aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia.

Tonton video penuh [DI SINI]. Amaran, video mengandungi aksi penderaan haiwan.

Ramai Berang Dengan Tindakan Kanak-Kanak & Orang Dewasa Yang Tak Cuba Hentikan

Menjenguk ke ruangan komen, tindakan dua kanak-kanak itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.

Lebih teruk lagi apabila tindakan mereka tidak dihentikan oleh individu dewasa yang berada berhampiran dan merakamkan insiden berkenaan.

Mereka juga menyalahkan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak mendidik mereka agar tidak berlaku kejam terhadap haiwan.

Orang ramai turut memaklumkan telah membuat laporan kes tersebut kepada pihak DVS.

Ibu Pelaku Mohon Maaf, Namun Keadaan Kucing Masih Tidak Diketahui

Dalam satu hantaran lain, Shima berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima daripada individu dipercayai ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan.

Menerusi mesej tersebut, dia telah memohon maaf bagi pihak anak-anaknya dan berkata akan memantau serta mendidik mereka sebaik mungkin agar masalah sedemikian tidak berulang.

“Saya tak tahu anak saya yang buat. Saya tahu semalam video tu. Saya minta maaf banyak sangat-sangat atas kesilapan saya,” katanya.

Setakat ini, keadaan dan keberadaan kucing itu masih tidak dapat dipastikan dan kumpulan penyelamat masih gigih mencari si bulus tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shima Aris (@shimaaris)

Dera Haiwan Kesalahan Di Bawah Akta Kebajikan Haiwan, Boleh Didenda Sehingga RM100,000

Penderaan atau kezaliman yang dilakukan ke atas haiwan merupakan satu jenayah serius di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017.

Mereka yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kekejaman ke atas haiwan boleh didenda antara RM20,000 RM100,000, atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Bukan sahaja dera secara fizikal, individu juga boleh dikenakan tindakan atas kesalahan berikut:

  • Mengurung haiwan secara berlebihan
  • Meracun
  • Menggunakan haiwan untuk pertarungan

Selain itu, kesalahan pengabaian pula boleh didenda antara RM15,000 hingga RM75,000 atau hukuman penjara tiga tahun.

Sumber : Buzz Kini

 

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*