Suami Sering mengelak menjadi imam, Sebabnya tidak tahu baca doa! Isteri tetap beri semangat

Sesebuah rumah tangga menjadi lebih harmoni sekiranya tidak memandang rendah terhadap kemampuan pasangan, sebaliknya perlu saling memberi semangat antara satu sama lain.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi rasa terharu apabila dapat menunaikan solat jemaah bersama suaminya di sebuah kafe yang diusahakan oleh mereka berdua.

Muat dua orang…

Menerusi perkongsian di platform TikTok, video dimuat naik oleh Najihah Mat Zin itu memaparkan suaminya Hasnur Noh sedang memeriksa telefon bimbit untuk membacakan doa selepas mereka selesai berjemaah.

“Aku kalau nampak dia buka kasut, kalut aku pun pergi ambil wuduk nak jemaah sekali. Biasa kami berdua jumpa kat rumah masa malam je,” tulisnya.

Bercerita lanjut, sebelum ini suaminya itu gemar mengelakkan diri untuk menjadi imam dan solat berjemaah atas alasan tidak tahu membaca doa-doa tertentu bagi menyempurnakan ibadah tersebut.

Bagaimanapun, wanita yang menetap di Parit Buntar, Perak itu tidak memandang rendah terhadap pengetahuan dimiliki suami sebaliknya terus memberikan semangat serta kata-kata motivasi dalam menuntut ilmu agama.

“Abang doa la dalam bahasa Melayu, mudah & faham…”

Siapa sangka, kini suaminya itu tidak lagi segan silu bagi menjadi imam selepas mengambil masa dengan mempelajari dan menghafal pelbagai doa untuk menjayakan solat berjemaah.

“Rupanya dalam diam dia belajar dan hafal doa. Alhamdulillah, sekarang dia dah selalu jadi imam aku. Bukan aku je, siapa yang datang sebelah dia. Dia tak malu dah untuk jadi imam,” katanya.

Rakaman video tersebut meraih 152,600 tontonan serta 14,800 tanda suka selain ratusan komen warganet yang bersyukur melihat perubahan suaminya dalam usaha menjadi ‘imam’ terbaik dalam keluarga.

Sumber: TikTok @najihahmatzin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*