Sabar Ada Had… Nombor Tak Dipanggil-Panggil, Staf Pula Khusyuk Main Game!

Sabar Ada Had… Nombor Tak Dipanggil-Panggil, Staf Pula Khusyuk Main Game!

Tindakan seorang kakitangan wanita di sebuah kompleks mahkamah yang dipercayai bermain permainan komputer ketika sedang bertugas menjadi tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian ramai.

Video kejadian itu mula tersebar selepas dimuat naik oleh akaun Threads @aishsholihah, sebelum menjadi topik hangat perbualan dalam kalangan netizen.

Rakaman berkenaan memaparkan suasana di kaunter Perkhidmatan Bersepadu Sehenti (PTSP) Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Indonesia, yang sedang beroperasi seperti biasa dengan beberapa pelanggan dilihat menunggu giliran di ruang menunggu.

Namun, perhatian terarah kepada seorang kakitangan wanita di kaunter tersebut yang kelihatan leka menumpukan perhatian pada skrin komputer, dipercayai sedang bermain permainan ketika waktu bekerja.

Difahamkan, komputer di kaunter itu mempunyai paparan dua hala — satu menghadap kakitangan dan satu lagi boleh dilihat oleh orang awam di bahagian hadapan kaunter.

Menerusi video tersebut, paparan yang dipercayai permainan itu jelas kelihatan pada skrin hadapan, sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa individu berkenaan terlupa menutup paparan awam.

Pemuat naik video turut menyertakan kapsyen bernada sinis, menyindir tindakan wanita itu yang dilihat seolah-olah melayan pelanggan sambil bermain permainan video.

Susulan penularan video itu, jurucakap Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Andi Saputra, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dalaman bagi mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.

Menurut beliau, pihak mahkamah kini sedang meneliti sumber asal video, selain mengesahkan masa kejadian serta identiti kakitangan yang terlibat.

Tambahnya lagi, proses siasatan dijangka mengambil sedikit masa memandangkan sebahagian besar kakitangan sedang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Mahkamah Daerah Jakarta Pusat turut memberi jaminan bahawa hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum sebaik sahaja proses pengesahan selesai.

Sumber : mStar

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*