Resipi Minyak Cili Tumis Sedap Makan Dengan Bubur
Sebagai seorang penggemar makanan yang pedas, saya buat minyak cili (chilli oil) ni untuk dimakan bersama dengan bubur ayam, tom kha gai, ayam goreng dan lain-lain hidangan yang kurang atau tidak pedas. Bagi saya, rasa minyak cili yang sebenar tak perlu terlalu masin dan manis kerana ia bukannya sos ataupun sambal tumis mengikut selera Melayu. Minyak cili ni kebiasaannya ditambah atau diambil sekadar untuk mendapatkan rasa pedas ketika menikmati sesuatu hidangan.
Resipi yang saya kongsikan ini sedikit berbeza dengan kebanyakan resipi yang dikongsi kerana saya masak (tumis) kesemua bahan di dalam minyak masak yang banyak dan panas. Saya ikut cara penyediaan seperti yang telah dikongsikan oleh Chef Devina Hermawan di laman YouTube beliau.
Nisbah bahan kering dan bahan basah yang saya gunakan mengikut berat ialah 1:3. Hasilnya agak banyak juga dan bolehlah disimpan di dalam bekas yang telah disteril supaya tidak mudah rosak. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan:
- 75 g cili kering/emping cili
- 25 g bawang kecil
- 25 g bawang putih
- 25 g udang kering (rendam sekejap)
- 450 g minyak masak
- 1 sdt gula
- 1 sdt garam
Cara Penyediaan:
1. Potong, rendam dan bilas cili kering. Sangai cili kering sehingga betul-betul kering. Kisar cili kering dengan pengisar kering atau pemproses makanan sehingga hancur seperti tekstur emping cili.
2. Seterusnya, kisar bawang kecil, bawang putih dan udang kering dengan pengisar kering atau pemproses makanan. Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga keperangan.
3. Masukkan cili kering kisar. Masak dengan api sederhana sehingga minyak menjadi kemerahan. Perasakan dengan gula dan garam. Sejukkan dan bolehlah digunakan serta disimpan di dalam bekas.
Resepi Oleh: Noor Ashikin Saerah

Leave a Reply