BENTONG: Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan polis kerana disyaki membuli pelajar Tingkatan Satu dengan menggunakan puntung rokok di asrama sebuah sekolah di daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan semalam selepas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun melecur di dada akibat didera dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira tengah malam di tandas asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa didera selepas tidak menuruti arahan suspek supaya menghisap rokok.
“Susulan kejadian itu mangsa memaklumkan kepada warden asrama dan dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan di dada dan terdapat kesan lecuran puntung rokok dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi.
Yahaya berkata, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum suspek ditahan di asrama sekolah terbabit, semalam.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku selepas suspek didakwa memaksa mangsa menghisap rokok, namun mangsa enggan menyebabkan suspek marah.
“Siasatan sedang dilakukan dan polis akan menemubual beberapa saksi serta mengesan kemungkinan terdapat suspek dan mangsa lain terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Leave a Reply