Dalam kehidupan seharian kita, pasti akan ada masanya kita akan diuji tahap kejujuran dan amanah kita. Kita juga sentiasa mengharapkan masyarakat di sekeliling kita sentiasa jujur dan amanah. Hanya dengan cara ini sahaja kita akan boleh berasa tenang dan lega untuk menjalani kehidupan seharian.
Tidak dapat dinafikan jika ada diantara kita yang menemui wang, mereka akan menganggapnya sebagai rezeki terpijak. Jadi, akan tiada langsung usaha untuk mengembalikan wang tersebut kepada pemiliknya.
Berbeza pula dengan seorang abang posmen ini iaitu, Mohd Shazlan Rusman, 32, yang telah menjumpai sebuah dompet yang berisi RM1300 didalamnya. Dia berusaha untuk mencari pemilik dompet tersebut dan sedikit pun tidak terlintas untuk mengambilnya.
RISAU JIKA WANG TERSEBUT DIPERLUKAN UNTUK KEGUNAAN TERDESAK
Murninya hati abang posmen ini apabila dia memikirkan apa keadaan yang bakal atau sedang dialami oleh pemilik dompet tersebut. Dia risau andainya pemilik dompet tersebut dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang didalam dompet tersebut segera.
Disebabkan oleh hal tersebut, dia berusaha untuk mencari pemilik dompet berkenaan. Dompet tersebut ditemuinya pada jam 2 petang di kawasan berhampiran sebuah kilang di Juru, Pulau Pinang.
BERNIAT UNTUK SEGERA PULANGKAN
“Saya jumpa dompet itu ketika menunggang motosikal dan mahu membuat penghantaran surat di kawasan berkenaan.
“Sebaik melihat dompet berkenaan, saya terus mengambilnya dan berniat memulangkan semula kepada pemilik asal kerana ada banyak wang di dalamnya selain dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank, lesen memandu serta lain-lain lagi.
“Memandangkan tidak tahu bagaimana untuk mengembalikan semula dompet itu, saya memuat naik hantaran di Facebook dengan harapan ada yang membantu menjejaki pemilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
PEMILIK DOMPET HUBUNGI SELEPAS 30 MINIT
Hebat rupanya kuasa media sosial ini kerana tidak sampai 30 minit selepas abang posmen ini memuat naik status di Facebook, pemilik dompet, Mohd Zulhairi Sabarudin, 46, terus menghubunginya.
“Pada mulanya, ada beberapa individu meninggalkan komen mendakwa pemilik dompet itu rakan mereka.
“Tidak lama selepas itu, saya dihubungi pemilik asal dan bertemu dengannya jam 5 petang semalam untuk memulangkan semula dompet miliknya.
“Lega rasanya dapat kembalikan semula dompet itu kerana wang yang ada bukan sedikit dan bimbang jika dia mahu menggunakannya untuk keperluan keluarga,” katanya.
Mohd Shazlan telah menjadi posmen selama 12 tahun dan kini bertugas di Pejabat Pos Simpang Ampat, Pulau Pinang. Manakala pemilik dompet tersebut pula menetap di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Menurut Mohd Zulhairi, dia hanya menyedari dompetnya tercicir sewaktu dia ingin mengisi petrol di sebuah stesen minyak. Tidak dapat dinafikan bahawa dirinya sangat panik pada ketika itu. Dia berusaha untuk menjejaki semula di semua tempat yang dikunjunginya sebelum itu.
“Namun, dompet itu tidak ditemui. Mulanya saya reda kerana menganggap tiada rezeki tetapi sebaik tiba di rumah, saya menerima kiriman WhatsApp daripada rakan mengenai hantaran Mohd Shazlan.
“Dalam hantaran itu, Mohd Shazlan ada meletakkan nombor telefon jadi saya terus menghubunginya dan mengatur pertemuan untuk mengambil semula dompet berkenaan.
“Alhamdulillah, dompet itu selamat dikembalikan dan kisah berkenaan mungkin nampak biasa bagi orang lain tetapi cukup bermakna buat saya.
“Jutaan terima kasih kepada Mohd Shazlan kerana berusaha mencari saya. Majikannya bertuah kerana mempunyai pekerja yang jujur dan amanah sepertinya,” katanya.
SUMBER : HARIAN METRO