Kita seringkali digemparkan dengan berita mengenai kemalangan jalan yang terbabas lalu terhumban ke dalam laut atau sungai.
Kejadian sebegini bukan sering kali berlaku, dalam beberapa kes ada kemalangan kenderaan yang terhumban ke dalam sungai turut membabitkan kanak-kanak.
Pernahkan anda terfikir apa yang perlu dilakukan sekiranya kereta tercampak ke dalam air?
Dalam kekalutan kereta yang kian tenggelam, seseorang itu hanya mempunyai beberapa saat untuk bertindak dan menyelamatkan diri.
Bagi anda yang tidak tahu apa perlu dilakukan, jom pelajari panduan keselamatan melalui video di bawah.
Apa-apa pun, jangan panik!
Dua aspek penting dalam keadaan ini adalah waktu yang diambil untuk bertindak dan kepantasan untuk berbuat demikian.
Sesebuah kereta tidak akan tenggelam dengan segera. Ini bermakna ada peluang kecil untuk cuba menyelamatkan diri.
Perkara utama yang paling perlu anda ingat ialah untuk tidak sesekali membuka pintu kereta anda. Tekanan air yang kuat akan menyukarkan usaha anda.
Lagipun, tindakan ini akan membuatkan lebih banyak air masuk dan akhirnya menyebabkan kereta anda tenggelam dengan lebih cepat.
Sebaliknya, cuba turunkan cermin tingkap, tanggalkan tali pinggang keledar dan berenang keluar.
Jika anda mengambil masa terlalu lama untuk bertindak, tekanan air akan menekan cermin tingkap itu hingga ia tak boleh digerakkan langsung. Ini bermakna anda perlu pecahkan cermin itu.
Jangan cuba pecahkan cermin di hadapan kereta kerana ia telah dicipta untuk melawan impak kuat. Sebaliknya, sasarkan cermin tepi.
Gunakan kaki untuk tendang pada bahagian atas tingkap, ataupun tanggalkan tempat letak kepala di tempat duduk anda dan “cucuk” di bahagian bawah tingkap.
Selepas memecahkan tingkap, cepat-cepat tarik nafas panjang dan berenang menerusinya untuk ke permukaan air.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan alat khas yang ada dijual di pasaran untuk memecahkan tingkap kereta. Ia boleh disimpan di dalam peti simpanan kereta atau dilekatkan bersama loket gantungan kunci anda.
Jika kereta anda terbalik dan tali pinggang keledar kereta menyekat anda daripada bergerak, alat ini juga boleh memotong tali berkenaan.
Sumber: Tech Insider