Satu video berdurasi kurang 10 saat ini telah viral di media sosial hingga mampu mengalirkan air mata bagi sesiapa yang melihatnya. Jika di Instagram sahaja, video ini telah disukai hampir 340,000 pengguna laman sosial itu.
Menerusi video yang dapat dilihat di saluran ‘animallovevibe‘ itu, kelihatan seekor anak harimau putih sedang menghendap ibunya disebalik pintu yang terbuka luas.
Sergahan dari anak harimau itu membuatkan si ibu betul-betul terkejut hingga terjelepok di atas tanah.
Reaksi si ibu harimau itu sebenarnya mengajar kita akan erti kasih sayang antara ibu dan anak. Mana mungkin si ibu itu tidak sedar akan kehadiran si anak, bukan? Namun, untuk menceriakan suasana dan menghargai usaha yang cuba dilakukan si anak, ibu harimau itu bukan sahaja berpura-pura tidak menyedari kehadiran si kecil malah berpura-pura terkejut hingga terjelepok. Pasti anak harimau itu berasa puas kerana berjaya membuatkan ibunya terkejut.
Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Gurauan seperti ini sangat diperlukan untuk menceriakan hari-hari kita. Baik ibu mahupun bapa, haruslah memainkan peranan yang penting dalam membentuk hubungan yang lebih erat dengan anak-anak. Anak-anak pasti akan berasa lebih selamat dan dekat dengan ibu bapa yang sentiasa menghidupkan ‘humor’ (kebolehan menyatakan sesuatu yang menggelikan hati) dalam keluarga.