Aktif halaqah Al-Quran, jemaah meninggal dunia ketika solat Zohor

Aktif halaqah Al-Quran, jemaah meninggal dunia ketika solat Zohor

KLANG – Pemeriksa Kira-Kira 1 Masjid Ahmadi Rantau Panjang, di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid itu pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, Abu Bakar Ibrahim, 64, dipercayai rebah ketika rakaat kedua sebelum disedari jemaah lain selepas selesai solat.

Nazir masjid berkenaan, Mustapa Kamal Mohd Nasir berkata, kejadian itu hanya disedari selepas semua jemaah selesai menunaikan solat.

“Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), arwah berada di saf belakang ketika solat berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mustapa Kamal berkata, pihak masjid kemudian menghubungi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Petugas perubatan mengesahkan Abu Bakar sudah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum laporan polis dibuat bagi mendapatkan kebenaran pengebumian,” jelasnya.

Menurut Mustapa Kamal, jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang kira-kira jam 6 petang hari sama.

“Pemergian arwah ketika menunaikan solat pada bulan Ramadan disifatkan sebagai kematian dicemburui kerana berlaku ketika dalam keadaan berwuduk dan sedang berpuasa,” ujarnya.

Tambahnya, dalam hampir 20 tahun bersama kariah masjid, ini kali pertama seorang jemaah meninggal dunia ketika menunaikan solat.

Sumber : Sinar Harian

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*