Ambil tindakan adil, berhemah terhadap pihak persenda agama – Sultan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menegaskan bahawa sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama Allah SWT tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya mesti dikenakan tindakan setimpal menurut peruntukan undang-undang negara.
Baginda bertitah, Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan dan wajib dihormati oleh semua pihak. Justeru, sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama hendaklah ditangani secara tegas, namun tetap berlandaskan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
Menurut baginda, pihak berkuasa tidak boleh berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah. Namun, setiap tindakan penguatkuasaan mestilah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas.
“Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil. Berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Majlis Kesultanan Pahang.
Mengulas insiden melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) yang berlaku baru-baru ini, baginda menzahirkan kebimbangan bahawa perkara tersebut berpotensi menggugat keharmonian dan ketenteraman negeri. Pada masa sama, baginda mengingatkan bahawa keamanan serta perpaduan yang dinikmati hari ini merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipelihara.
Titah baginda lagi, sebarang isu berkaitan agama hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Baginda turut menegaskan bahawa kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keadaan kekal terkawal. Mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama, di samping memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang serta menjunjung tinggi prinsip keadilan.
Sultan Pahang turut menzahirkan harapan agar seluruh rakyat terus menghormati sensitiviti agama dan bersama-sama memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan dan kestabilan negara.

Leave a Reply