Polis bantuan antara dua individu pertama di Negeri Sembilan dikenakan PKM akibat buang puntung rokok

Polis bantuan antara dua individu pertama di Negeri Sembilan dikenakan PKM akibat buang puntung rokok

Seremban: Dua individu pertama di Negeri Sembilan dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membuang puntung rokok, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hashim Mohd Nor, 37 dan Herrykurniawan, 25, dijatuhi hukuman itu selepas masing- masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hashim membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di siar kaki di hadapan Terminal Bas Nilai, Nilai, pada jam 11.30 pagi 4 Januari, iaitu tempat awam atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa berkenaan.

Herrykurniawan melakukan kesalahan sama kira-kira jam 1 pagi pada 1 Januari lalu di tepi longkang hadapan sebuah klinik swasta di Jalan BBN 1/7 D Putra Indah, Nilai.

Justeru itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 77A (2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan PKM di bawah Subseksyen 77B (1) akta sama.

Jika disabitkan, boleh didenda sehingga RM2,000 dan membuat PKM tidak lebih 12 jam dalam tempoh enam bulan.

Mohd Hashim yang bekerja sebagai polis bantuan merayu dikenakan denda yang rendah kerana menanggung lima tanggungan dengan pendapatan RM2,500 sebulan.

Manakala Herrykurniawan yang turut tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai dua tanggungan.

Mahkamah turut bertanya mengenai keadaan kesihatan kedua-dua tertuduh sama ada boleh menjalankan PKM sebelum kedua-dua memaklumkan tiada masalah kesihatan.

Dalan hujah pemberatan, Pegawai Pendakwa SW Corp, Siti Adora Rahtimin memohon mahkamah menjatuhkan denda dan PKM yang setimpal berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan umumnya kepada masyarakat.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM600 dan jika gagal bayar, boleh dipenjara selama 14 hari serta menjalani PKM selama enam jam dalam masa enam bulan.

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*