Keputusan masih belum dikeluarkan untuk menuduh mana-mana pihak berhubung pelucutan hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) babitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya menyerahkan aspek pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan lanjut.
“Pihak Timbalan Pendakwa Raya belum lagi membuat keputusan untuk menuduh mana-mana pihak dalam kes ini.
“Kita tidak meletakkan sebarang garis masa kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah badan bebas manakala SPRM hanya menjalankan siasatan,” katanya.
Semalam, Mahkamah Sesyen telah dimaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu bersama bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahadi berkata kedua-dua responden melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lalu kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (tengah).
Image via Berita Harian
Wang terbabit kini menjadi milik kerajaan
Menurut Azam, wang tunai yang disita SPRM dan dipercayai dikaitkan dengan Ismail Sabri kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta sudah dimasukkan ke dalam akaun kerajaan.
Perkara itu dilakukan susulan keputusan Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.
“Ini bermakna secara rasmi wang ini kini hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkannya ke dalam consolidated fund (dana yang disatukan) akan dimulakan pada hari ini, mungkin dalam tempoh terdekat ia akan dikreditkan ke akaun kerajaan,” katanya.
Pada 7 Julai lalu, SPRM telah memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, disita daripada Mohammad Anuar sebelum diberikan kepada kerajaan Malaysia.

Leave a Reply