KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn Bhd, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan SRC International berjumlah AS$1.18 bilion dan mengarahkan Najib membayar jumlah berkenaan, selain AS$120 juta yang diterimanya daripada syarikat terbabit ke dalam akaun AmPrivate Banking dengan nombor berakhir 964, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.3 bilion.
Bagaimanapun, mahkamah akan menentukan kos pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata, mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.
“Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, menimbulkan kerisauan mengenai pengurusan kewangan. Perbuatan itu mengakibatkan penyelewengan AS$1.1 bilion melalui struktur pelaburan palsu.
“Akibatnya, SRC gagal membayar balik pinjaman awam, sekali gus memerlukan kerajaan menyediakan suntikan kewangan RM600 juta bagi menampung kerugian,” kata hakim itu, sambil menambah bahawa Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menjamin dana berkenaan dan tidak pernah memerintahkan sebarang siasatan terhadap transaksi tersebut.
Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply