Zizi Kirana Adalah Antara aktivis kemanusiaan Malaysia yang disahkan ditahan oleh tentera mereka.

‘Keselamatan Rakyat Malaysia Keutamaan, Kita Tak Akan Bungkam Tatkala Hak & Maruah Mereka Dicabuli’ – Anwar Ibrahim Tegas Desak Israel Bebaskan Aktivis

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil lantang menyuarakan kebimbangan selepas 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa, Khamis lalu.

Menerusi hantaran di laman rasmi, Anwar menggesa pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang terlibat dalam misi bantuan ke Gaza itu.

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera. Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan rakyat Gaza.

Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” tegasnya.

Israel cabuli hak kemanusiaan

Menurut Anwar, tindakan Israel menyekat flotila tersebut bukan sahaja menafikan hak asasi rakyat Palestin, malah mencabuli nurani masyarakat dunia.

“Flotila ini bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan zalim,” katanya lagi.

Beliau menegaskan Malaysia akan menggunakan segala saluran undang-undang antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila ia melibatkan keselamatan warganegara.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan. Kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” ujar Perdana Menteri.

12 rakyat Malaysia ditahan

Setakat ini, seramai 12 rakyat Malaysia yang berada dalam misi GSF dilaporkan ditahan tentera Israel, antaranya:

  • Heliza Helmi

  • Hazwani Helmi

  • Zizi Kirana

  • Haikal Abdullah

  • Muaz Zainal

  • Zulfadhli Khairudin

  • Rusydi Ramli

  • Iylia Balqis

  • Musa Nuwayri

  • Sul Aidil

  • Farah Lee

  • Danish Nazram

Kesemua mereka merupakan antara 400 aktivis kemanusiaan dari 44 negara yang menyertai lebih 50 kapal konvoi GSF menuju ke Gaza, membawa bekalan makanan dan perubatan untuk penduduk Palestin yang menderita akibat sekatan Israel.

Anwar menegaskan selagi hak rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia akan berdiri teguh dan tidak akan berundur dalam mendesak agar kezaliman itu dihentikan.

Leave a Comment