‘Siang kerja di gudang, malam kerja penghantaran’ – Rakan dedah arwah Amirul gigih sara tiga anak

‘Siang kerja di gudang, malam kerja penghantaran’ – Rakan dedah arwah Amirul gigih sara tiga anak

KLANG – “Dia tak pernah berkira tenaga, ringan tulang dan sentiasa mempermudahkan urusan orang lain.”

Demikian luahan pilu rakan sekerja kepada Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat di sini pada Ahad.

Rakan sekerja mangsa, Illyasa Saipuzzaman berkata, pemergian Amirul bukan sahaja mengejutkan, malah meninggalkan kekosongan besar selepas lebih sedekad mereka bekerja bersama.

Menurutnya, arwah dikenali sebagai seorang yang peramah, rajin membantu dan sentiasa mengukir senyuman.

“Kami bekerja bersama kira-kira 11 tahun. Kalau ada kerja berat atau orang perlukan bantuan, dia antara yang paling awal tampil.

“Semangat kerja berpasukan dia tinggi, pantas bekerja dan sangat komited,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Illyasa berkata, kali terakhir mereka bertemu hanyalah sehari sebelum kejadian, ketika meluangkan masa berbual santai di sebuah taman permainan berhampiran rumah.

“Hari Sabtu kami jumpa di taman permainan dekat rumah. Borak biasa saja, tak lama pun.

“Dia tak tunjuk apa-apa perubahan, semuanya seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak pernah mengeluh walaupun memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

“Dia ada tiga anak, masing-masing berusia sembilan, tujuh dan dua tahun.

Lepas kerja di gudang, dia sambung buat penghantaran Lalamove waktu malam untuk tambah pendapatan,” katanya.

Katanya, kesungguhan Amirul mencari rezeki demi keluarga menjadi antara perkara yang sukar dilupakan.

“Dia memang kuat bekerja. Siang kerja, malam sambung cari duit lebih untuk anak-anak.

“Sekarang anak-anak dia hilang tempat bergantung,” katanya sayu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pemergian Amirul sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah rakan sekerja.

“Dia bukan sekadar kawan kerja, tapi seperti keluarga. Kehilangannya memang sangat terasa,” katanya.

Illyasa turut berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kejadian itu.

“Pada saya, ini jelas akibat kecuaian — mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

“Saya harap hukuman berat dikenakan terhadap individu yang menyebabkan rakan saya maut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.

Sumber : Oh Media

 

Artikal popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*