‘Kehilangan Ayuni sangat dirasai, bukan setakat adik tapi ibarat ‘ibu’ buat kami semua’
KUALA TERENGGANU – Suasana Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri bagi keluarga Allahyarham Nor Ayuni Maslan, 21, di Felda Tenang, Jerteh, Besut tahun ini dirasai cukup berbeza dan suram.
Pemergian anak bongsu daripada lapan beradik itu dalam tragedi bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Jun tahun lalu meninggalkan kesan mendalam memandangkan arwah sentiasa membuat perancangan awal dalam menguruskan persiapan hari raya.
Abang keenam mangsa, Ahmad Azizol Maslan, 27, berkata, ketiadaan adiknya itu amat dirasai kerana kebiasaannya arwah yang menyusun segala perancangan menyambut lebaran, termasuk menentukan tema pakaian serta menu juadah setiap tahun.
Menurutnya, sejak ibu mereka meninggal dunia pada 2015, Nor Ayuni yang ketika itu baru berusia 11 tahun telah menggalas tanggungjawab sebagai ‘ibu’ dalam menjaga urusan rumah tangga dan makan minum bapa serta adik-beradik yang lain.
”Selalunya arwah yang akan rancang semua, daripada persiapan barang hinggalah kepada aktiviti pagi raya. Tahun lepas paling banyak kenangan sebab dia sendiri yang beria-ia mahu kami sekeluarga buat sesi penggambaran (photoshoot) lengkap satu keluarga.
”Kami adik-beradik lelaki ini jarang mahu bergambar, tetapi disebabkan dia yang rancang, kami ikutkan sahaja. Tak sangka itu rupa-rupanya kenangan terakhir kami bersamanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahas.
Ahmad Azizol yang bekerja di Beranang, Selangor berkata, kepulangan mereka ke Jerteh kali ini terasa sangat suram kerana tiada lagi air tangan adiknya yang sering menyediakan menu kegemaran seperti rendang, ayam masak butter milk dan ayam masak merah.
Ujarnya lagi, masakan adiknya itu pula mirip masakan arwah ibu mereka dan ketiadaan Nor Ayuni menyebabkan suasana di dapur tidak lagi semeriah dahulu.
”Tahun ini kami terpaksa merancang sendiri semuanya, tetapi rasanya tidak akan sama. Dia seorang adik yang sangat periang dan bertanggungjawab.
“Walaupun ada seorang lagi kakak yang sudah berkahwin, arwah yang selama ini banyak menguruskan keperluan ayah di rumah.
”Kehilangan ini sangat dirasai buat kami kerana dia bukan sahaja seorang adik, tetapi sudah seperti ‘ibu’ kepada kami semua. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir ini,” tambahnya.
Allahyarham Nor Ayuni merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut selepas bas dinaikinya dalam perjalanan dari Terengganu ke Tanjung Malim hilang kawalan dan terbalik selepas merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada 9 Jun 2025.
Tragedi menyayat hati melibatkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa itu turut meragut nyawa 14 lagi penuntut UPSI yang lain.

Leave a Reply