Kenapa saya nak lari – Zamri Vinoth
KUALA LUMPUR – Aktivis media sosial, Zamri Vinoth menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melarikan diri susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.
Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Zamri berkata, beliau juga sedia bertemu Ketua Polis Negara bagi menjelaskan perkara tersebut.
“Saya sendiri akan pergi jumpa IGP jika perlu, insya-ALLAH… saya tak lari dan tiada keperluan pun untuk lari,” katanya.
Dalam hantaran sama, Zamri turut mempersoalkan mengapa dirinya menjadi sasaran tuduhan berhubung beberapa insiden serangan, pembakaran kenderaan dan kerosakan rumah yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.
“Kenapa hanya saya pula nak kena tuduh? Apa kesalahan saya? Apa yang saya hasut?
“Tak ada pun orang kita yang pergi serang sesiapa. Tak ada pun pergi bakar kereta sesiapa dan tak ada pun pergi serang rumah sesiapa,” katanya.
Beliau pada masa sama mendakwa terdapat pihak lain yang didakwa menghasut sehingga berlakunya beberapa insiden keganasan, namun tidak berdepan sebarang pertuduhan.
Menurutnya, sekiranya beliau didakwa, tindakan sama juga perlu diambil terhadap individu lain yang didakwa terlibat.
Terdahulu, polis mengesahkan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Feb lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang.
Sumber : Sinar harian

Leave a Reply