Kuala Lumpur: “Mak buka mata mak, bangun mak, mengucap mak…,” kata seorang wanita kepada ibunya yang dipercayai pesakit Covid-19 dan sedang dirawat di hospital.
Hanya raungan dan ratapan kesedihan lapan sekeluarga itu dapat didengari dalam panggilan video yang tular di media sosial, hari ini.
Video berdurasi satu minit 37 saat itu dikatakan membabitkan panggilan video antara seorang ibu yang sedang bertarung nyawa bersama anaknya.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Hospital Shah Alam dan wanita itu meninggal dunia tidak lama kemudian.
Seorang lelaki dipercayai menantu kepada wanita itu berkongsi catatan di media sosial mengenai perkara itu.
“Hari ini 24 Mei pukul 4.45 pagi tadi, ibu mentua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Arwah meninggal sebab Covid-19. Tiga minggu dalam ICU (unit rawatan rapi) sebab sesak nafas perlukan bantuan oksigen.
“So, (jadi) punca kene (dijangkiti) Covid adalah kerana kakak ipar dapat melalui kawan ‘office’ dia. Kakak ipar jumpa mak mentua saya cium tangan dan berborak (berbual) rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat ‘swab test’ positif (Covid-19).
“Bawa mak mentua pergi ‘test’ terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja selepas itu meninggal dunia. Jadi hati-hati kawan-kawan semua ya,” katanya di dalam tangkap layar yang dikongsikan di media sosial.
Turut dikongsikan ialah penjelasan mengenai mengapa video itu dibuat, difahamkan untuk memberi ruang kepada ahli keluarga melihat pesakit.
Tangkap layar itu menyatakan doktor akan membuat panggilan video kepada ahli keluarga apabila tahap oksigen pesakit terlalu rendah, berikutan mereka tidak dibenarkan melawat pesakit di hospital.
Di dalam video itu, anak dan menantu wanita itu menangis sambil memanggil ibu mereka sebelum panggilan video ditamatkan.
Turut kedengaran, suara seorang wanita mengajar pesakit itu mengucap dua kalimah syahadah.
Sumber : Harian metro