Warga emas usia 83 tahun gigih bina pondok, sekolah tahfiz selepas mimpi jumpa arwah bapa masa koma

Bila sudah jadi warga emas pasti ramai yang memilih untuk berehat di rumah dan menikmati kehidupan.Namun bagi Haron Hussin yang kini berumur 83 tahun, usianya itu ingin diabadikan dengan membuat pelbagai kebajikan yang membolehkan ilmu agama disebar secara meluas dan merangkumi setiap peringkat umur.

Bagi mencapai hasrat tersebut, dia mewakafkan tanah pusaka yang dipenuhi pelbagai jenis tanaman buah seluas enam ekar di jalan utama Taiping – Lumut di Batu 8 Changkat Jering, Perak bagi membangunkan pondok mengaji dan sekolah tahfiz.

Menceritakan permulaan perjuangan itu, anaknya Jarir Jafni berkata, keputusan dibuat selepas sekolah agama rakyat yang dikendalikan bapanya selama empat tahun, musnah dalam kebakaran.

“Dulu abah saya berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur. Dia mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Sekitar tahun 1996, abah pulang semula ke Taiping kerana sudah bersara. Pada usianya persaraannya, dia dijemput untuk menjadi mudir di sekolah agama rakyat… memang sepenuh hati dia uruskan, tapi suatu hari skitar tahun 2000 sekolah tu terbakar.

“Abah kelihatan sangat kecewa dengan apa yang berlaku kerana apa yang diusahakan hangus sekelip mata… dan disebabkan itu dia berazam untuk bangunkan sekolah. Jadi dia ambil keputusan untuk wakafkan tanah pusaka dan memulakan pembinaan pertama pada 2001,” ujarnya, mengimbau usaha yang dilakukan bapanya.

Bagaimanapun, pada 2002, tiba-tiba ayahnya yang berusia 63 tahun terkena serangan asma sehingga perlu dimasukkan ke wad kerana koma selama enam hari.

Katanya, ia merupakan kali kedua bapanya terkena serangan itu.

“Saya menganggap abah sebagai seorang pejuang kerana dia berusaha melawan penyakitnya yang dihidapi.

“Menurut abah, semasa koma, dia bermimpi berjumpa dengan arwah atuk… masa tu arwah berjalan bersama abah di tanah wakaf sambil tersenyum gembira dan abah diberikan air untuk minum.

“Disebabkan itu, abah terjaga dan keadaan badan abah basah. Sejak daripada itulah abah berazam untuk teruskan apa yang dihajatinya,” ujar Jarir.

Selepas pulih, bapanya kembali meneruskan projek pembinaan namun ia mengambil masa yang lama kerana pada peringkat awal, segala perbelanjaan dan kos ditanggung sendiri sepenuhnya.

Jadi, pembinaan terpaksa dilakukan sedikit demi sedikit serta berfasa.

“Pada 2016, pondok mengaji untuk warga emas siap sepenuhnya dengan binaan 167 unit rumah di samping asrama dan masjid. Menariknya setiap pondok ini dilengkapi dengan kemudahan termasuk mempunyai satu bilik.

“Pembinaan menjadi lancar selepas terdapat individu yang menderma serta membeli unit untuk tujuan wakaf. Ada juga yang membelinya untuk duduk di situ… lokasi itu kemudiannya dijadikan contoh oleh Majlis Agama Islam Negeri Perak.

“Setelah siap, abah mula membangunkan sekolah tahfiz dan kini ia telah siap 70 peratus,” ceritanya.

Abah ambil keputusan untuk wakafkan tanah pusaka dan memulakan pembinaan pondok mengaji yang dinamakan Pondok Moden Darussolehah pertama pada 2001. – JARIR


Menurut Jarir, permulaan pembinaan itu dilakukan ketika bapanya berusia dalam lingkungan 70-an.

Bapanya juga tidak pernah meminta derma daripada mana-mana pihak, sebaliknya menulis buku dan menyelitkan borang di dalamnya bagi menarik perhatian pembaca yang ingin turut sama membangunkan pondok serta sekolah tahfiz berkenaan.

Malah katanya, buku-buku yang ditulis itu diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Terkini, buku yang dihasilkan adalah doa untuk mencegah penyakit angin ahmar.

Dalam pada itu, Jarir yang menjalankan bisnes makanan mengakui akan menjadikan bapanya sebagai sumber inspirasi apabila berasa kecewa dan sedih.

“Saya buat bisnes, bila rasa down saya ingatkan usaha abah saya bangunkan pondok dan sekolah tahfiz di usia dia 70-an sehingga sekarang.

“Kesungguhan dan tindak tanduk abah membuatkan saya kembali bersemangat… iyalah, bisnes ni kadang kala naik dan adakalanya merosot,” luahnya.

Terdahulu, video perkongsian Jarir di aplikasi TikTok menjadi tular di media sosial dan ditonton lebih 203, 200 pelayar serta memperoleh kira-kira 12,000 tanda suka.

Dia juga aktif berkongsi petua kesihatan yang diberikan bapanya sebagai rujukan orang ramai.

Antara perkongsian tersebut adalah petua untuk menjaga mata kerana penglihatan bapanya masih jelas serta aktif memandu kereta walaupun sudah berusia 83 tahun

Sumber:Mstar

Leave a Comment

error: Content is protected !!