Kuala Lumpur: “Kalau ada yang kata ini semua lakonan, takkanlah kami nak berlakon hari-hari, pakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang waktu bekerja.
“Apapun orang nak kata, yang saya tahu kami akan terus bersabar dan memberikan yang terbaik untuk pesakit Covid-19,” kata Eksekutif Kejururawatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Idafarafieza Ismail.
Idafarafieza berkata, biarpun beban tugas yang dipikul sepanjang pandemik ketika ini berbeza dengan rutin kerja sejak 25 tahun lalu, ia bukan penghalang untuk dia dan rakan setugas yang lain fokus dalam kerja.
Menurutnya, ketika peringkat awal wabak itu, dia cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu walaupun pertama kali mengendalikan pesakit Covid-19.
“Selepas setahun, tipulah kalau saya kata tak penat dan kadang-kadang tertekan.
“Tapi alhamdulillah, dengan adanya pasukan yang bagus, semuanya menjadi mudah,” kata jururawat eksekutif berusia 50 tahun itu.
Ditanya mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, beliau berkata, dia masih ingat bagaimana seorang pesakit warga emas membuat panggilan video bersama anak dan cucunya sebelum dipindahkan Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, ketika itu dia berharap pesakit itu kembali sembuh dan dapat pulang ke pangkuan keluarga semula.
“Tetapi itulah perjalanan terakhirnya. Dia meninggal dunia ketika dalam rawatan.
“Ketika itu saya terfikir bagaimana jika itu berlaku kepada diri atau keluarga sendiri. Memang sedih,” katanya.
Sementara itu bagi Ketua Jururawat, Noraffida Md Sapuan, 41, bertugas di wad Covid-19 adalah satu cabaran kerana ia memerlukan penelitian lebih kerana jika diambil mudah, mereka juga berisiko dijangkiti.
Mengakui kepenatan ketika ini, dia yang berpengalaman selama 19 tahun berkata, ia menjadi lebih teruk bila berdepan katil tidak cukup untuk menempatkan pesakit.
“Alhamdulillah, setakat ini terkawal dengan bantuan rakan setugas.
“Saya akui kadang-kadang rasa tertekan melihat keadaan seperti ini, tapi demi tugas, saya dan yang lain laksanakan juga.
“Minta tolong kepada rakyat Malaysia, patuhilah SOP dan mendaftarlah untuk mengambil vaksin. Ia untuk kebaikan bersama,” katanya dalam nada sebak.
Dalam pada itu Pengarah HCTM Prof Datuk Dr Razman Jarmin berkata, pihaknya menghargai pengorbanan jururawat dan semua kakitangan yang menjadi petugas barisan hadapan berdepan Covid-19.
Katanya, biarpun kes positif direkodkan semakin meningkat, semua petugas berkenaan sentiasa diingatkan supaya menjaga Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan demi keselamatan bersama.
“Penting untuk barisan hadapan jangan rebah dan sentiasa berfikiran positif,” katanya.
Sumber : Harian metro