Polis mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada penternak lembu yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di hadapan rumahnya di Kampung Pasir Tok Kambing hari ini.
KOTA BHARU: Seorang penternak lembu terkejut selepas dikompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika sedang memberi makanan kepada lembu di hadapan rumahnya di Kampung Pasir Tok Kambing, di sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ketika Nik Azman Nik Lah, 56, berada pada jarak kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Anaknya, Nik Muhammad Faris, 22, berkata ketika itu bapanya sedang memberi minuman dan makanan kepada haiwan ternakan berkenaan di hadapan rumah mereka.
Beliau juga mengakui bapanya itu tidak memakai pelitup muka ketika kejadian kerana berada dalam jarak 10 meter dari rumah.
“Ketika sedang beri lembu makan, seorang lelaki tidak dikenali datang mendekati bapa untuk bertanyakan sesuatu dan bapa pun menjawab pertanyaannya.
“Pada masa sama, anggota polis yang berada dalam kereta berhampiran lokasi sempat mengambil gambar bapa bersama lelaki tidak dikenali itu.
“Selepas bapa pergi mengalihkan lembunya, anggota polis berkenaan datang dan menyerahkan surat kompaun kepada bapa atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.
“Bapa saya terkejut melihat jumlah itu kerana bagi kami ia terlalu banyak memandangkan bapa hanya bergantung hidup dengan bekerja di kilang perabot, selain menternak lembu,” katanya yang berharap kompaun itu dapat diberi pengurangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, mengesahkan kes itu dan berkata kompaun yang dikeluarkan kerana penternak terbabit bersama seorang lagi lelaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak memakai pelitup muka.
“Penternak itu bercakap di tepi jalan tanpa penjarakan sosial, namun seorang lagi lelaki melarikan diri sebaik melihat anggota polis. Isu yang tular mengatakan lelaki ini disaman ketika hanya bersendirian adalah tidak benar.
“Ini kerana pihak polis dapat melihatnya dengan jelas sedang berbual dengan individu lain tanpa penjarakan sosial,” katanya.
Sumber : bharian