Ibu Ini Perlukan Sumbangan Anda Untuk Bina Bilik Air Dalam Bilik, Mudahkan Urusan Jaga Anak Hidap Cerebral Palsy & Suami Pula Terlantar Sakit

Baru-baru ini aktivis kemanusiaan yang aktif berbakti di utara tanah air, Natipah Abu berkongsi satu lagi kes bantuan kemanusiaan. Sedekah Jumaat kali ini pula adalah tentang saudara Shahril, pemuda berusia 26 tahun yang menghidap Cerebral Palsy.

Kisah si Shahril ini sangat menyentuh hati kita semua. Bayangkanlah, dia melalui siang dan malam sepanjang hayatnya hanya di atas kerusi roda. Tidak mampu untuk bergerak sihat, apatah lagi mahu menjalani kehidupan seperti manusia lain.

Di sebalik keperitan ini, ibunyalah menjadi tunjang harapan selama-lamanya. Walaupun sudah berumur 60 tahun, dengan kudrat yang berbaki itulah si ibu gagah berdiri menguruskan rutin hariannya.

Tidak cukup dengan itu, si ayah pun turut sama terlantar sepi di katil. Penyakit yang datang sudah meragut kemampuan sosok tubuh itu untuk menguruskan keluarga. Si ayah terlantar di katil, si anak berpaut di kerusi roda.

Tinggallah si ibu yang berhempas-pulas memerah urat dan keringat mengangkut kedua-dua insan itu dengan sepenuh hati…walaupun hakikatnya dia sendiri tidak sekuat dahulu lagi. Ikuti kisah Shahril dan ibunya di bawah ini.

Sedekah Jumaat: Shahril perlukan bantuan kita

Nama: Shahril bin Abu Mansor, 26 tahun
Penyakit: Cerebral Palsy
Bantuan: Bilik & bilik air
Keperluan: RM10,000
Sumbangan: Maybank Natipah Abu 552107617521

Shahril, anak bongsu kepada 6 beradik ini, tidak boleh bercakap walau sepatah pun. Hanya rengekan, bahasa tubuh dan riak wajahnya yang menjadi kunci perhubungan dengan dia.

Walaupun kurang upaya anggota tubuh, tetapi kerana pernah dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) satu masa lalu, Shahril mampu berfikir seperti biasa.

Keinginan dan nalurinya sama seperti anak-anak yang lain. Dia suka berkawan dan suka jika ada orang lain menghampiri atau berada di sekelilingnya. Dia akan merengek jika dibiarkan sendirian.

Keadaannya ini menuntut pengorbanan yang bukan sedikit daripada ibunya, Puan Puziah binti Abdul Wahab, 60 tahun.

Banyak masa dan perhatian perlu diberikan oleh si ibu untuk melayaninya termasuk membawa dia keluar bersiar-siar di kawasan sekitar rumah mereka.

Walaupun tanpa kenderaan yang sesuai, dengan hanya menyorong kerusi roda, si ibu tetap membawa Shahril bersiar-siar jauh hingga ke jalan besar.

[Keterengan gambar: Beginilah cara dia disorong keluar. Semoga pakar perubatan rehabilitasi dapat menentukan apa yang sesuai untuk Shahril.]

Dapat melihat kereta yang lalu-lalang dan melihat kanak-kanak riang bermain, sudah cukup membahagiakan Shahril.

Tentang makanan, Shahril masih boleh makan melalui mulut cuma pengambilan makanan haruslah yang lembut dan mudah hadam.

Cuma, sebelum diberi makan, si ibu harus mengurut badan dan perut Shahril supaya tubuhnya lembut dan tidak mengeras. Barulah dia boleh menelan dengan baik.

Kebanyakan masa, Shahril hanya mampu meniarap kerana keadaan fizikalnya juga tidak mengizinkan dia melentang.

Bila hendak tidur, Shahril perlu didakap oleh ibu agar dia tidak kejang dan menggeletar. Atas sebab inilah, kedua-dua beranak ini memang tidak boleh berenggang langsung.

Kini, hanya kudrat ibu sahaja yang ada untuk menguruskan Shahril sepenuh masa. Sebelum ini, ayah turut sama membantu ibu menguruskan Shahril tetapi sudah hampir sebulan, ayah jatuh sakit.

Sejak terkena serangan jantung, keadaan ayah yang sudah berusia 67 tahun itu tiba-tiba lemah. Ayah juga perlu dibantu untuk menguruskan diri termasuklah ke bilik air.

Adik-beradik Shahril yang lain semuanya telah berumah-tangga dan sedang bergelut dengan kehidupan masing-masing.

[Keterangan gambar: Babyface. Wajah yang riang bila disapa.]

Memang ada yang membantu sedikit-sebanyak daripada segi kewawangan, tetapi cukup untuk sekadar menampung perbelanjaan harian saja kerana pasangan suami-isteri ini langsung tiada sumber pendapatan tetap.

Manakala wang bantuan bulanan oleh JKM pula, memang khusus untuk susu dan lampin pakai buang Shahril.

Puan Fuziah dengan penuh harapan telah memanjangkan hajat untuk mendapatkan sebuah bilik yang lengkap dengan bilik air agar mudah bagi beliau menguruskan anak bongsu dan suaminya itu.

Bilik air rumah mereka sekarang terletak jauh di belakang. Dalam usianya, kudrat yang ada tidak setara mana lagi.

Maka dengan itu, Sedekah Jumaat kita hari ini diakad atas nawaitu menyiapkan sebuah bilik dan bilik air untuk kemudahan Shahril bin Abu Mansor yang mana selama ini perlu dikendong ibu untuk ke bilik air.

Untuk kerusi roda pula, kita akan merujuk Shahril kepada pakar perubatan rehabilitasi hospital untuk mendapatkan kerusi roda khas yang sesuai dan sepadan dengan keadaan fizikal Shahril.

Jumaat yang barakah. Semoga Allah permudahkan segala urusan dunia dan akhirat kita dan berkatilah hidup dan mati kita.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Mari pakat bantu Shahril & ibu

Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah sama-sama kita pakat membantu Shahril dan ibunya. Mungkin pada kita jumlah RM10,000 itu tidaklah besar mana, namun bagi mereka, itu sudah terlalu cukup untuk memberikan sebuah sinar baharu dalam kehidupan.

Jika ada yang sudi menghulurkan bantuan, sumbangan bolehlah disalurkan ke akaun Natipah Abu 552107617521 (Maybank). Semoga apa yang kita hulurkan ini dapat membantu mereka dan menjadi saksi di akhirat nanti, mudah-mudahan. Amin.

Sumber: Natipah Abu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!